Skip to main
Logo Malaysiakini

KKDW lulus RM200 juta tambah baik jalan kampung Orang Asli - Zahid

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk projek menambah baik jalan di beberapa kawasan perkampungan Orang Asli di Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia melibatkan kawasan Kuala Betis-Pos Balar dan Pos Belatim-Kuala Betis-Pos Bihai, masing-masing di Gua Musang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata jumlah peruntukan itu adalah peruntukan sedia ada yang telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah juga tidak berhajat untuk meminta tambahan peruntukan namun sekiranya ia tidak mencukupi, saya sendiri akan menghadap Perdana Menteri untuk tambah.

“Bukan untuk saya tetapi untuk kebajikan Orang Asli terutamanya dalam hal perhubungan desa ini,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2, di Gua Musang hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merasmikan program berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata KKDW bersama pelbagai agensi di bawahnya komited untuk memastikan bantuan bagi pembangunan kumpulan sasar terutamanya Orang Asli akan tercapai.

Dalam masa sama, beliau juga meminta supaya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melaksanakan perubahan dan projek pembangunan kawasan luar bandar dengan adanya pengerusi yang baharu.

“Pengerusi Kesedar yang baharu Cikgu Awi (Datuk Zawawi Othman), saya pasti beliau melakukan libat urus dengan pengurus besarnya, pengarah dan kakitangan Kesedar.

“Saya yakin Cikgu Awi orang yang bersemangat dan saya lihat dalam tempoh hanya tiga bulan ini beliau telah melakukan banyak perubahan di Kesedar ini,” katanya.

Reaksi masyarakat Orang Asli

Rata-rata masyarakat Orang Asli di daerah ini yang ditemui Bernama menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan mereka kerana bakal menikmati kemudahan jalan perhubungan desa yang lebih selesa selepas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Belatim Roireng Ngah berkata pengumuman tersebut merupakan perkara yang dinanti-nantikan penduduk di kawasan pedalaman setelah lebih 60 tahun menunggu untuk jalan di perkampungan Orang Asli di daerah ini dinaik taraf.

“Alhamdulillah syukur berita inilah yang kami tunggu-tunggu. Terima kasih kerajaan MADANI yang cakna dan mendengar rintihan kami yang tinggal di pedalaman.

“Diharap dengan adanya jalan yang elok, kami penduduk setempat dapat membawa hasil getah ke luar dengan mudah dan cepat tanpa perlu mengharapkan kepada orang tengah lagi. Pendapatan kami pun akan bertambah kerana tidak perlu dibahagi kepada orang tengah,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Bihai Lama, Pos Bihai, Nari Abus, 47, berkata projek menaik taraf jalan perhubungan tersebut diharap akan menyelesaikan beberapa isu logistik masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Saya gembira bila mendengar pengumuman tersebut. Harapnya isu anak-anak tidak dapat ke sekolah serta penduduk Orang Asli terputus bekalan makanan setiap kali tiba musim tengkujuh akan selesai dengan adanya jalan yang lebih elok ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata beliau berharap pelaksanaan projek menaik taraf jalan ini dapat disegerakan sebelum musim tengkujuh.

“Alhamdulillah syukur saya percaya pengumuman tadi akan memberi keselesaan kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman.

“Saya harap kelulusan ini dapat disegerakan proses pembinaannya terutamanya bagi membantu mengurangkan beberapa kemungkinan di musim tengkujuh yang bakal menjelang,” katanya.

- Bernama