Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahathir terdesak naik ke pentas PAS, kata Anwar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kehadiran Dr Mahathir Mohamad berkongsi pentas yang sama dengan pemimpin PAS menunjukkan dia sekarang terdesak, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, bekas perdana menteri itu ketika berkuasa "sangat kejam" terhadap PAS dan penyokongnya.

"Beliau adalah kumpulan terdesak dan tiada ruang lain untuk dia heret.

"Tun (Dr) Mahathir orang yang paling kejam terhadap PAS, sekolah agama rakyat, mangsa Memali, namun kini didukung," kata Anwar seperti dipetik Berita Harian pada sidang akhbar di Gua Musang hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mengulas kehadiran Dr Mahathir pada ceramah PAS Jumaat lalu di Kelantan.

Untuk rekod, Tragedi Memali merujuk kepada perselisihan antara penyokong PAS dan pendakwah Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, dengan pihak polis di Baling, Kedah.

Pertembungan antara mereka menyebabkan 14 orang awam, termasuk Ibrahim dan empat anggota polis terbunuh.

Dr Mahathir ialah perdana menteri ketika itu.

Pada masa lalu, PAS mempersalahkan Mahathir berhubung apa yang berlaku, manakala bekas perdana menteri itu pula mendakwa ia sebenarnya adalah kesalahan Hadi - yang didakwa meniupkan keganasan melalui "Amanat Hadi" pada 1981.

PAS mendakwa Operasi Angkara dilancarkan pihak keselamatan ketika itu bermotifkan politik bagi membendung pengaruh Ibrahim yang luas dalam pengikut PAS.

Anggota PAS yang terkorban dianggap syahid oleh PAS.

Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu ribuan orang yang berhimpun di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Jumaat lalu bahawa PN bakal menyapu bersih kemenangan PRN di semua enam negeri, termasuk tiga negeri di bawah penguasaan PH ketika ini.

Bagaimanapun, Anwar mendakwa sokongan Mahathir kepada PN tidak akan menjejaskan peluang PH dan BN dalam pilihan raya negeri.

"Tidak mengalah, itu hak dia. Namun, ia tidak menjejaskan sokongan kepada kami," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah (gambar, bawah) membayangkan parti itu sudah memaafkan ‘kesilapan’ lampau Dr Mahathir.

"Saya harap dengan kemasukan beliau (Tun M) bersama kita (PN) dapat membersihkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini," katanya, lapor Sinar Harian semalam.

Mohd Amar juga dipetik berkata dalam sejarah Islam, semua orang yang masuk Islam sebelum itu pernah mempunyai banyak masalah dengan Islam, contohnya melawan Nabi Muhammad SAW.

"Namun selepas pembukaan Kota Makkah, Abu Sufian, Khalid Al-Walid dan Wahsyi telah masuk (memeluk) Islam.

"Kalau kita tengok, Wahsyi bunuh bapa saudara Nabi (Hamzah Abu Mutalib).

“Jadi bila dia (Tun M) sudah berubah kita terima. Sejarah tu nak buat macam mana," jelasnya lagi.