Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu nadir bumi: SPRM tahan seorang pegawai kanan kerajaan Kedah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan kerajaan Kedah ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira lapan malam semalam di pejabat SPRM Alor Setar, Kedah kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah kira-kira RM1 juta daripada seorang pemilik syarikat.

Lelaki itu kini direman tiga hari bermula hari ini sehingga 26 Julai, selepas majistret Muhammad Zul Hilmi Latif membenarkan permohonan reman SPRM, di Mahkamah Majistret Alor Star, Kedah hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut hari ini berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat, ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta, serta salah guna kuasa membabitkan isu perlombongan REE di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada 20 Julai lepas, dilaporkan berkata SPRM telah merakam kenyataan 12 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut.

-Bernama