Skip to main
Logo Malaysiakini

Mufti P Pinang pertahan tindakan batal festival Good Vibes

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhak membatalkan Festival Good Vibes 2023 susulan aksi dan kenyataan biadap kumpulan dari United Kingdom The 1975 ketika persembahan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Jumaat lepas.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata tindakan KKD itu tidak boleh dipersalahkan kerana penganjur festival telah membuat akujanji akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap konsert tersebut.

"Terlebih dahulu ingin ditegaskan bahawa agama Islam tidak sama sekali menentang hiburan termasuk konsert muzik, drama, filem dan seumpamanya.

"Yang ditentang dan dilarang Islam adalah hiburan dan apa jua aktiviti seni yang boleh merosakkan fikiran serta kelakuan penonton atau peminat. Sejarah tamadun Islam tidak pernah menyaksikan sebarang konflik antara agama dan kemajuan termasuk dalam bidang kesenian serta hiburan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Salim berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengenai persembahan The 1975 di Festival Good Vibes 2023 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Healy didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi laman Instagram rasminya menyifatkan tindakan Healy yang berkelakuan tidak sopan dan mempersenda undang-undang berkaitan LGBT di negara ini dalam konsert itu, sebagai perbuatan biadab.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata tidak wajar bagi sebuah negara yang ingin membangunkan generasi penerus yang dinamik dan progresif, membawa masuk budaya luar yang boleh merosakkan nilai-nilai moral.

Menurutnya dengan mempamerkan kelakuan tidak sopan dan kritikan terhadap undang-undang Malaysia pada konsert tersebut, jelas kumpulan The 1975 itu berniat serong terhadap Malaysia dan rakyatnya yang masih mendokong serta menghormati nilai-nilai akhlak murni.

"Mana-mana umat Islam yang menonton konsert itu dinasihatkan supaya memohon keampunan daripada Allah sebagai menzahirkan perasaan kesal walaupun mereka tidak dikira melakukan dosa kerana tidak menjangka tindakan tidak bermoral itu akan dilakukan di hadapan mereka," katanya.

-Bernama