Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam: Kerugian 1MDB bukan kerana Arul Kanda, Irwan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan bekas pengerusinya Mohd Irwan Serigar Abdullah tidak sepatutnya dipertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat penyelewengan yang dilakukan oleh orang lain.

Peguam Sanjay Mohan, yang mewakili Arul Kanda, berhujah bahawa isu berkaitan kerugian kewangan 1MDB telah dibangkitkan pada 2014, setahun sebelum pelantikan anak guamnya dalam syarikat itu.

“Dakwaan yang dibangkitkan oleh plaintif (1MDB) telah dibuat tanpa sebarang bukti. Siasatan terhadap 1MDB bermula pada 27 Feb 2015 berkaitan urus niaga di antara tahun 2010 dan 2014. Anak guam saya adalah sebahagian daripada pengurusan baru. Dia tidak pernah terlibat dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Irwan, pula berhujah bahawa bekas ketua setiausaha Perbendaharaan itu telah dilantik menganggotai lembaga pengarah 1MDB pada 2016 dan tiada kaitan langsung bahawa kerugian yang didakwa berlaku adalah akibat perbuatan salah laku Mohd Irwan.

“Pelaburan di Brazen Sky Limited dan pembayaran kepada Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak mampan kerana mahkamah belum menentukan bahawa 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion (RM8.05 bilion) dan AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion),” katanya sambil menambah saman plaintif terhadap Mohd Irwan adalah pramatang.

Kedua-dua peguam berkata demikian pada prosiding pendengaran permohonan bagi membatalkan saman AS$6.59 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap Arul Kanda dan Mohd Irwan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Sementara itu, peguam Brendan Siva yang mewakili 1MDB berhujah saman tersebut perlu melalui prosiding perbicaraan penuh kerana adalah menjadi tanggungjawab 1MDB untuk memastikan bahawa semua pihak yang berkaitan disoal dalam usaha mendapatkan semula dana yang hilang.

Seorang lagi peguam 1MDB iaitu Lim Chee Wee pula berkata saman itu adalah terhadap apa yang sepatutnya mereka lakukan namun gagal berbuat demikan pada masa yang material.

"Mereka gagal melakukan inkuiri, menyiasat dan memastikan pelbagai pelaburan 1MDB yang gagal serta mendapatkan semula dana yang terlibat,” katanya.

Selepas mendengar hujah semua pihak, Raja Ahmad menetapkan 23 Ogos ini untuk memutuskan perkara itu.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap mereka atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang ditukar kepada pelaburan di Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada to Aabar Investments dan US$1.265 bilion, yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion bagi pelanggaran terbabit dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

-Bernama