Fahmi: Poster komplot salahkan PAS batal konsert memfitnah
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menafikan tuduhan dia telah mengarahkan naratif untuk menyalahkan PAS atas pembatalan Festival Good Vibes (GVF) 2023 hujung minggu lalu.
"Poster ini adalah fitnah! Saya telah arah pejabat untuk buat laporan pada MCMC dan PDRM," katanya pada hantaran di media sosial.
Fahmi turut menjelaskan kronologi kejadian yang membawa kepada pembatalan festival itu.
"Pada 23 Jun 2023, Puspal telah menolak permohonan penganjur untuk membawa masuk The 1975 atas rekod buruk kumpulan ini di negara lain.
"Pada 16 Julai, penganjur telah buat rayuan dan jaminan bertulis juga dari manager band tersebut untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas persembahan kumpulan ini, dan Puspal telah menerima rayuan berdasarkan jaminan tersebut.
"Pada 21 Julai jam 11 malam, Kumpulan 1975 telah berkelakuan sangat biadab di pentas persembahan," katanya.
Selepas kejadian itu, Fahmi mengecam tindakan ahli kumpulan itu dan menyeru penganjur GVF bertemu dengannya pagi itu.
Menteri itu membatalkan festival itu selepas bertemu dengan penganjur pada 10 pagi pada 22 Julai dan berkata penganjur bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aksi itu.
"Tamat mesyuarat, jam 1 petang saya keluarkan kenyataan dan minta penganjur batalkan baki konsert dan cari mekanisme bayaran balik (refund) pada pembeli tiket.
"Bagaimana pereka poster ini boleh dengan tidak ada rasa takut akan undang-undang mahupun akhirat, membuat fitnah secara terbuka seperti ini.
"Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita dari fitnah dan para pemfitnah ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai