Diperlekeh kerana usia tua, calon Muda anggap publisiti percuma
Lee Kim Noor yang menjadi calon parti Muda pada usia 59 tahun enggan mempedulikan pihak yang memperlekehkannya atas faktor umur dan sebaliknya mengganngap ia sebagai publisiti percuma buatnya.
Sambil menegaskan usia bukan penghalang untuk berkhidmat, peguam itu, yang akan bertanding di kerusi Batu Uban di Pulau Pinang, menyorot kerjaya politik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, 98, yang masih aktif sehingga kini.
Bercakap kepada Malaysiakini, Lee mentertawakan soalan mengenai pihak yang memperlekehkannya bertanding mewakili Muda - parti yang dianggap sebagai platform untuk belia dalam politik.
"Jenaka itu memberi publisiti percuma. Jika anda kata 59 tidak boleh masuk politik, kita ada 98 tahun masih aktif dalam politik, jadi bagaimana 59 boleh dianggap tua?
"Lihatlah pemimpin yang mentadbir negara. Bukankah mereka semua berusia lebih 60 tahun? Biarlah mereka (pengkritik) membantu saya dengan publisiti," katanya.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata kenalan seangkatan dengannya memuji keberaniannya untuk membuat perubahan.
Walaupun Muda dilihat sebagai suara politik generasi muda, parti itu tidak meletakkan had umur dan Lee mahu menyedarkan orang ramai bahawa ia juga mengalu-alukan ahli yang lebih tua.
"Saya ingin menunjukkan bahawa Muda juga boleh terima warga emas," tambahnya.
Dia juga melihat peluang bertanding sebagai cara untuk berkongsi pengalamannya dengan ahli yang lebih muda, sambil menyatakan bahawa masa depan negara bergantung kepada yang golongan muda.
Menurut Lee, aspek Muda yang paling menarik ialah ia adalah parti berbilang kaum dalam erti kata sebenar tidak seperti parti lain yang mendakwa sedemikian tetapi keahlian parti menunjukkan sebaliknya.
Selain itu, katanya Muda juga mempunyai ahli yang seimbang dari segi jantina, mempunyai bilangan calon lelaki dan perempuan yang sama.
Sambil menyifatkan ia sebagai konsep memperkasakan wanita, Lee berkata faktor itu adalah satu lagi sebab ketertarikannya terhadap Muda.
“Wanita perlu mengimbangi antara keluarga dan pekerjaan.
"Menggalakkan mereka keluar dari zon selesa dan memasuki politik adalah satu kejayaan besar," katanya, sambil menambah bahawa parti politik harus melihat perwakilan wanita yang lebih besar dalam politik.
Lee juga menegaskan bahawa Muda tidak meminggirkan ahli wanita, yang dia percaya adalah model yang lebih sihat.
"Muda juga sebuah parti yang mempunyai pemikiran liberal. Politik kita tidak berasaskan kaum atau agama, ia membebaskan diri daripada kerangka ini, yang telah mencetuskan huru-hara di Malaysia," tambahnya.
Mengenai sama ada dia dapat memahami selera orang muda yang menjadi demografi sasaran Muda, Lee berkata seorang daripada anaknya berada di universiti manakala dua lagi di sekolah menengah, dan ini membantunya memantau isu-isu yang melibatkan generasi muda.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai