Saya tak lari dari Bukit Antarabangsa, kata Azmin
Dicalonkan di DUN Hulu Kelang untuk PRN akan datang, Azmin Ali berkata dia bukannya lari dari DUN Bukit Antarabangsa yang dipegangnya sejak 2008.
Azmin berkata ini kerana Hulu Kelang juga terletak dalam kawasan Parlimen Gombak, yang juga disandangnya sejak 2008 sebelum tewas pada PRU lalu.
"Saya ingin tekankan Hulu Kelang adalah kerusi utama saya sejak 1999 dan ketika saya jadi ahli parlimen Gombak selama tiga penggal, Hulu Kelang adalah sebahagian daripada parlimen ini jadi soal saya melarikan diri tidak timbul," katany akepada pemberita selepas pengumuman calon PN di Selangor di Taman Medan, semalam.
Azmin menang di DUN Hulu Kelang pada PRU 1999 sebelum berpindah ke DUN Bukit Antarabangsa pada PRU 2008.
Awal tahun ini, bekas menteri besar Selangor itu mengumumkan dia akan berehat sekejap daripada politik selepas tewas di Parlimen Gombak pada PRU tahun lalu.
Namun, menjelang PRN timbul spekulasi bahawa dia akan bertanding di Hulu Kelang dan ia disahkan semasa pengumuman rasmi semalam.
Ditanya sebab dia membuat keputusan untuk bertanding, Azmin berkata dia memang berhasrat untuk bersara namun partinya mahu dia tetap bertanding.
"Jadi saya akur dengan presiden dan Majlis Piminan Tertinggi untuk bertanding dalam PRN," katanya lagi.
Azmin bagaimanapun tidak menjawab dengan jelas apabila ditanya jika dia merupakan calon menteri besar jika PN menang di Selangor.
Katanya, tumpuan pada waktu ini adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya soal jawatan.
"Dan untuk kita laksanakan dasar untuk rakyat, kita perlu menang pilihan raya dahulu dan menang dengan meyakinkan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai