Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Mengapa kerajaan boleh bertahan?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan Anwar Ibrahim yang kini dikenali sebagai Kerajaan Malaysia Madani adalah sebuah kerajaan yang mengambil pendekatan sederhana dan berada di garis tengah; bukan kiri ataupun kanan; tidak ekstrem ataupun eksklusif.

Politik sederhana dan mengambil kedudukan di jalur tengah ini adalah jalan terbaik untuk mengwujudkan sebuah masyarakat adil, negara demokratik yang bersatu padu serta progresif.

Orang Melayu Islam yang inginkan pendekatan ekstrem dan eksklusif seperti naratif yang dibawa oleh Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor tentu mencemuh dan mengkritik dasar Kerajaan Madani Anwar Ibrahim yang kelihatan sederhana.

Dasar sempit, ekstrem dan eksklusif Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi oleh PAS dan Bersatu mungkin boleh mendapat sokongan sebahagian orang Melayu Islam di negeri-negeri di Pantai Timur dan di Utara Semenanjung.  

Tetapi kebanyakan rakyat Malaysia sama ada Melayu ataupun bukan Melayu; Islam atau bukan Islam di lain-lain negeri dan wilayah, termasuk di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis akan lebih selesa dan mudah menerima dasar-dasar sederhana Kerajaan Madani.

Dasar-dasar yang ekstrim dan eksklusif PAS dan Bersatu melalui PN tidak dapat menjunjung setia semangat kerjasama dan perkongsian kuasa secara adil di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Ini satu kelemahan besar PN.

Sebaliknya, kesungguhan kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim yang ingin melaksanakan Perjanjian Malaysia tahun 1963 adalah antara punca penting kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bertahan. Ini satu kekuatan teras kerajaan Malaysia  Madani.

Jika perdana menteri dapat menghayati intipati pemerintahan persekutuan atau federalisme yang adil, bertanggungjawab serta demokratik dalam mengimbangi kepentingan negeri-negeri, wilayah-wilayah dengan kekuasaan kerajaan pusat maka sokongan kepada kerajaan persekutuan akan meningkat dan diterima baik oleh rakyat umum di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah serta Sabah dan Sarawak. 

Ini akan memperkukuhkan sokongan terhadap kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.

Masyarakat Islam dan bukan Islam mula membuka mata dan cuba memahami konsep dan falsafah Madani yang sedang dibawa oleh Anwar Ibrahim. 

Falsafah Madani yang bersumberkan tradisi, sejarah, budaya dan ajaran Islam yang bersifat universal yang mempertingkatkan kemuliaan insan, nilai keihsanan, menegakkan hak asasi manusia, prinsip integriti dan akauntabiliti dalam bidang ekonomi, politik dan pentadbiran adalah jawapan yang ampuh untuk menangani ideologi politik ekstrim, eksklusif atas nama kaum dan agama yang dibawa oleh PAS dan Bersatu.

Kerana itu, PN yang mengambil garis politik kanan yang ekstrem sukar untuk mendapat sokongan majoriti rakyat di seluruh Malaysia, sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Jika Kerajaan Malaysia Madani yang menguasai kerajaan Persekutuan terus komited:

(i) dalam ucapan dan tindakan untuk memerangi rasuah; 

(ii) memulihkan ekonomi rakyat dan negara; 

(iii)memperbaiki sistem tatakelola pentadbiran; serta 

(iv)menghasilkan perubahan dalam kehidupan material rakyat dalam menangani isu kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan; dan 

(v) dalam masa yang sama memberi arah pembangunan sosial dan politik serta kerohanian yang menjamin kelangsungan hidup sebuah negara bangsa bagi rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama, maka masa depan Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Anwar Ibrahim ini mempunyai harapan untuk terus bertahan.


HASSAN ABDUL KARIM iala anggota parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.