Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga MB senaraikan pencapaian, pesanan pada pengundi atas pagar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menjelang PRN di enam negeri, Malaysiakini menghubungi ketua pentadbiran di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan dan mengemukakan lima soalan kepada mereka.

Soalan tersebut adalah apakah pencapaian mereka, urusan yang belum selesai, apa yang akan dilakukan dengan berbeza jika dipilih semula, peruntukan sama rata untuk setiap Adun dan mesej mereka kepada pengundi atas pagar.

Setakat artikel ini disiarkan, Malaysiakini masih belum mendapat jawapan daripada menteri besar Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Malaysiakini juga telah membuat semakan terhadap jawapan, berdasarkan maklumat yang dapat diakses awam. Nota editor disertakan jika dakwaan dalam jawapan tidak dapat disahkan.

Apakah lima pencapaian kerajaan negeri anda dalam tempoh lima tahun ini?

Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah)

  1. Menyelesaikan masalah bekalan air Kedah: Menaik taraf loji rawatan air yang tertangguh selama dua tahun ketika pentadbiran PH. Projek itu kini berjalan lancar dan mengikut jadual.

    (Nota editor: Dr Xavier Jeyakumar, menteri yang bertanggungjawab terhadap isu air sejak 2018 hingga 2020, dilaporkan berkata PH tidak boleh dipersalahkan atas perkara itu.

    Namun, dia berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan pinjaman RM1.7 bilion untuk projek bekalan air Kedah pada 2019 dan menggesa tindakan segera, namun tidak banyak perkembangan berlaku pada masa itu. Ketika itu, Mukhriz Mahathir adalah menteri besar Kedah.)

  2. Meningkatkan keluasan tanah rizab Melayu: Sejak 1933 hingga 19 Januari 2023, keluasan tanah rizab Melayu yang dinyah warta adalah 4,751.4 hektar dan digantikan dengan tanah di kawasan lain seluas 5,160 hektar. Ini bermakna terdapat 721,905.6 hektar tanah rizab Melayu di Kedah setakat Januari lalu.

    (Nota editor: Data yang dapat diakses awam berkenaan tanah rizab Melayu hanya setakat Disember 2022, seperti dinyatakan di Parlimen. Sehingga tahun lalu, tanah rizab Melayu di Kedah seluas 716,537.28 hektar.

    Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Tanah dan Galian Kedah dan Jabatan Tanah dan Galian untuk data bagi Januari 2023.)

  3. Rekod pelaburan tertinggi: Sejak mengambil alih kerajaan negeri pada Mei 2020 hingga suku pertama tahun ini, jumlah pelaburan adalah RM91.4 bilion - tertinggi dalam negara.

    (Nota editor: Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), jumlah keseluruhan pelaburan di Kedah sejak 2020 hingga 2022 adalah RM82.3 bilion.

    Mida tidak menerbitkan data pelaburan suku pertama 2023 di setiap negeri, namun Sanusi di satu acara Mida berkata ia berjumlah RM5 bilion. Ini menjadikan data pelaburan Kedah bagi 2020 hingga suku pertama 2023 adalah sebanyak RM87.3 bilion.

    Mida belum menerbitkan data untuk suku kedua 2023.

    Berkenaan dakwaan Kedah sebagai negeri dengan pelaburan tertinggi, berdasarkan angka 2020-2022 yang dikeluarkan Mida, Pulau Pinang mengatasi Kedah sebanyak kira-kira RM20 bilion.)

  4. Menyelesaikan isu 7,233 Geran Tanah dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS): Penantian rakyat Kedah selama empat dekad telah berakhir. Kami menunaikan permohonan pemilikan tanah kepada rakyat Kedah tanpa mengira siapa, mereka akan mendapat hak yang dijanjikan Perlembagaan. Ini yang saya secara peribadi paling gembira. Kini rakyat, terutama peneroka, dapat mengusahakan tanah mereka dengan tenang untuk anak cucu akan datang.

    (Nota editor: Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas angka yang diberikan pada masa ini.)

  5. Peruntukan bantuan untuk orang Kedah: Kerajaan negeri telah menaikkan kadar bantuan khairat kematian, bantuan kebajikan institut pengajian tinggi, memperkenalkan Program Bantuan Beras Sejahtera dan Program Anakku Sejahtera, yang diberikan kepada penduduk Kedah tanpa mengira latar belakang.

Chow Kon Yeow (Pulau Pinang)

  1. Menangani wabak Covid-19: Di sebalik cabaran akibat wabak, kerajaan negeri kami mengendalikan krisis dengan cekap.

  2. Pemulihan sosioekonomi: Untuk memastikan pemulihan yang lancar daripada wabak, kami menubuhkan Majlis Perundingan Pemulihan Sosio-Ekonomi Pulau Pinang. Ini bagi berdepan cabaran di pelbagai sektor, termasuk pelancongan, ekonomi, infrastruktur, pendigitilan dan pekerjaan.

  3. Perumahan mampu milik: Kerajaan telah berjaya membina 148,351 buah rumah mampu milik, yang merupakan 64 peratus daripada sasaran 220,000 buah menjelang 2030.

    (Nota editor: Setakat ini, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas angka ini.

    Namun, pada Februari lalu, kerajaan Pulau Pinang berkata sebanyak 142,647 rumah telah dibina, atau 57.06 peratus daripada sasaran mereka untuk tahun ini.)

  4. Kemudahan dan kesalinghubungan: Kerajaan telah melabur dalam projek infrastruktur yang bertujuan menambah baik kesalinghubungan dan mengurangkan kesesakan jalan raya. Projek seperti Lebuh Raya Bukit Kukus, Lebuh Raya Jalan Pintasan Air Itam-Tun Dr Lim Chong Eu dan projek LRT yang bakal dilaksanakan adalah langkah penting dalam isu pengangkutan di negeri ini.

    Selain itu, kita telah mengutamakan inisiatif pengangkutan awam, termasuk program Pas Mutiara My50, perkhidmatan bas Congestion Alleviation Transport (CAT) percuma, Best Komtar dan penambahbaikan dan subsidi tambang untuk feri.

  5. Pelaburan dan pembangunan ekonomi: Kami telah menarik pelaburan sebanyak RM121 bilion dalam sektor pembuatan antara Januari 2019 hingga Disember 2022. Pencapaian ini selari dengan sasaran mewujudkan 150,000 peluang pekerjaan menjelang 2030, dengan tumpuan terhadap industri seperti elektrik dan elektronik, jentera dan kelengkapan, peralatan saintifik dan perubatan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan program Stem.

Ahmad Samsuri Mohktar (Terengganu)

  1. 20 daripada 20 manifesto PRU14 telah dilaksanakan dan sedang dilaksanakan kerajaan negeri, menjadikan semua janji manifesto PAS Terengganu telah dipenuhi.

    (Nota editor: Setakat ini, Malaysiakini tidak dapat secara bebas mengesahkan jika lima daripada 20 janji ini telah dipenuhi.

    Janji tersebut termasuk setiap penduduk dewasa berusia 21 tahun ke atas memiliki satu lot tapak atau rumah, sebuah Sekolah Rendah Agama di setiap kawasan Parlimen dan DUN, membuka permohonan untuk geran tanah, pusat penjagaan kanak-kanak di setiap jabatan kerajaan negeri dan pembangunan lestari di setiap daerah.)

  2. Menstrukturkan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan meningkatkan pendapatan GLC. Misalnya, pendapatan Terengganu Inc meningkat daripada RM970 juta pada 2018 kepada RM1.57 bilion pada 2022.

  3. Kewangan kerajaan negeri diuruskan dengan telus dan berintegriti, terbukti apabila Terengganu dianugerahkan sijil "pendapat tanpa teguran" daripada ketua audit negara untuk empat tahun berturut-turut.

  4. Memupuk keharmonian masyarakat dengan memperkenallan dan menerapkan budaya politik matang dan sejahtera dalam kalangan komuniti.

  5. Melakukan proses pemulihan dan penambahbaikan terhadap projek-projek terbengkalai dan sakit yang bernilai lebih RM1 bilion yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Apakah perkara yang masih dalam pelaksanaan dan memerlukan masa?

Sanusi (Kedah)

Ada lagi lapan projek berimpak tinggi yg sedang diusahakan

  1. Kedah Aerotropolis

  2. Lebuh Raya Koridor Utara

  3. Taman Teknologi dan Sains Kedah

  4. Kedah Rubber City

  5. Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ)

  6. Lima loji rawatan air

  7. Peluasan Kulim HiTech Park Fasa 4A (99 hektar) and Fasa 5 (182 hektar)

  8. Rancangan penanaman padi lima kali dalam dua tahun

Chow (Pulau Pinang)

Kerajaan Pulau Pinang memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Wawasan Pulau Pinang 2030 yang sedang berjalan. Walaupun perkembangan signifikan telah dicapai ketika penggal pertama, masih ada yang perlu dilakukan bagi memastikan negeri dalam kedudukan yang lebih baik dan kukuh untuk mencapai keseluruhan objektifnya.

Ketika lima tahun pertama, kerajaan mewujudkan struktur pentadbiran dan merangka hala tuju untuk memandu kerajaan negeri ke arah matlamat yang disasarkan. Namun, penting untuk terus mengukuhkan struktur-struktur ini bagi meneruskan sokongan kepada hala tuju dalam lima tahun seterusnya.

Ini bermakna perlu ada kesinambungan, seperti pemimpin seterusnya dapat memberikan negeri dorongan yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan yang berbaki dan merealisasikan wawasan.

Dengan memastikan peralihan lancar dan penerusan di atas asas yang telah dibina, kerajaan negeri dapat berusaha ke arah mewujudkan masa depan yang lebih lestari, terangkum dan cerah seperti yang dinyatakan dalam Wawasan Pulau Pinang 2030.

Samsuri (Terengganu)

Pembangunan fizikal di negeri yang lebih tersusun. Pada penggal ini, kita banyak fokus untuk menyelesaikan projek-projek kerajaan negeri sebelum ini, termasuk memulihkan projek terbengkalai.

Pada penggal akan datang, sebelum siapnya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), perancangan pembangunan yang dicetuskan oleh projek ini perlu disusun agar dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh kerajaan negeri.

Pengurusan sumber ekonomi juga menjadi tumpuan untuk kerajaan negeri mengurangkan kebergantungan pendapatan terhadap sumber gas dan minyak. Menurut Laporan Ketua Audit Negara, pada 2018-2021 purata kadar kebergantungan ini menurun kepada 68.7 peratus berbanding 72.7 peratus bagi tempoh 2014-2017.

Apakah yang anda akan lakukan dengan berbeza jika dipilih semula?

Sanusi (Kedah)

Masih sama, ikut perancangan asal.

Chow (Pulau Pinang)

Jika diberi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang lima tahun lagi, kami akan fokus kepada meneruskan dan mengembangkan daripada apa yang telah dicapai dan menguruskan sebarang kelemahan berdasarkan maklum balas orang awam.

Ini melibatkan kesinambungan usaha dan keutamaan kami dalam perkara-perkara utama:

  1. ekonomi dan mewujudkan pekerjaan: Kami akan fokus terhadap memupuk pertumbuhan dan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik, rekaan litar bersepadu, teknologi perubatan, daerah digital dan ekonomi baru.

  2. Strategi Pembangunan Ekosistem Ekonomi Pulau Pinang (Seed Penang): dengan mematuhi rangka kerja ini, kami menjangka untuk mengekalkan unjuran pertumbuhan konsisten pada kadar 3.5 peratus setiap tahun dari 2023 hingga 2028.

    Malah, garis panduan berkaitan menjangka pertumbuhan tahunan 5.8 peratus dengan menarik lebih RM10 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, sementara pasaran kerja dijangka berkemban 1.4 peratus bagi tempoh sama.

  3. Pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP): Kami akan mengutamakan pelaksanaan PTMP dengan tumpuah khusus kepada projek LRT Bayan Lepas dan penyiapan projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

  4. Penambah baikan aliran trafik dan penyelesaian isu pengangkutan awam: Inisiatif ini bagi mengurangkan kesesakan jalan raya, melancarkan aliran kenderaan, dan menyediakan penyelesaian pengangkutan awam yang cekap.

    Kami juga akan secara giat berusaha untuk mendapatkan sokongan dan peruntukan pusat bagi pembinaan lebuh raya bertingkat atau Lebuh Raya Juru-Sungai Dua.

  5. Berdepan perubahan iklim: Ini menjadi keutamaan dan kami akan fokus kepada pelaksanaan projek tebatan banjir, membangunkan bandar rendah karbon, dan mempromosikan penggunaan kemudahan kenderaan elektrik (EV).

  6. Pelan Kontinjensi Air 2030: Kami akan berusaha dengan tekun untuk melaksanakan pelan ini bagi memastikan Pulau Pinang tidak berdepan krisis air yang berulang. Pelan ini melibatkan strategi menyeluruh untuk menguruskan sumber air dengan cekap, mendapatkan sumber air alternatif dan mempromosikan langkah pemuliharaan air.

  7. Pembangunan dan pemberdayaan masyarakat: Menerusi pelbagai inisiatif, program dan sistem sokongan, kami ingin mengangkat kedudukan orang muda, wanita dan warga emas, menambah baik kehidupan mereka dan memupuk masyarakat yang terangkum dan maju.

Samsuri (Terengganu)

Tiada apa yang berbeza cuma akan meningkatkan lagi usaha untuk menyelesaikan isu-isu pembangunan, kebajikan dan keperluan rakyat.

Adakah anda akan terus memberi peruntukan sama rata kepada pembangkang?

Sanusi (Kedah)

Ya.

Chow (Pulau Pinang)

Memastikan kesaksamaan dan meyediakan platform agar semua suara dapat didengar adalah amat penting dalam masyarakat kita yang demokratik. Peruntukan dana kepada parti politik adalah aspek penting dalam menyokong usaha mereka.

Walaupun ketelusan dan kesaksamaan adalah perkara penting, kami akan menimbang dengan cermat keputusan untuk memberikan peruntukan sama kepada pembangkang.

Samsuri (Terengganu)

Di Terengganu, kita telah memberi peruntukan kepada pembangkang sejak 2019.

Insya-Allah, sebagai wakil yang dipilih rakyat, mereka wajar menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, seperti mana kerajaan negeri wajar menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan walaupun dari parti berbeza.

Jika anda dapat sampaikan satu perkara kepada pengundi atas pagar, apa yang anda akan katakan?

Sanusi (Kedah)

Keluarlah menunaikan kewajiban sebagai pengundi. Undilah parti yang bersih dan stabil untuk masa depan yang lebih baik.

Chow (Pulau Pinang)

Kuasa untuk menentukan masa depan Pulau Pinang di tangan anda. Undi anda ada kuasa untuk mempengaruhi perjalanan negeri kita dan menentukan masa depan yang kita mahukan untuk diri kita dan generasi akan datang.

Saya menyeru anda untuk melaksanakan hak untuk mengundi dan membuat pilihan yang selari dengan aspirasi dan nilai yang anda pegang. Pertimbang rekod pencapaian dan wawasan calon dan parti yang ingin meraih sokongan anda. Lihat dengan teliti pencapaian mereka, janji yang telah ditunaikan serta tekad untuk kebaikan Pulau Pinang.

Jangan bimbang, kerajaan negeri kekal komited untuk memajukan Pulau Pinang dan kehidupan penduduknya. Kami telah menunjukkan secara konsisten kemampuan kami untuk menunaikan janji dan mencapai kemajuan yang signifikan.

Fokus kami adalah untuk menempa masa depan yang makmur dan lestari, memastikan setiap penduduk dapat berjaya.

Samsuri (Terengganu)

Dalam fasa kritikal ini, para pengundi perlu berwaspada dengan permainan propaganda di media sosial dan sentiasa merujuk sumber yang benar.

Tidak lupa juga, sebelum membuat pilihan dan keputusan, buatlah penilaian berdasarkan dasar, pendepatan, rekod pencapaian dan usaha yang diberikan, bukan berasaskan emosi dan ikutan semata-mata.


Jawapan Chow telah disunting untuk kejelasan. Jawapan penuh tanpa suntingan boleh dibaca di sini.

Laporan oleh Raveena Nagotra, Shakira Buang, and Wang Ping.