Skip to main
Logo Malaysiakini

'Misi mustahil' Mahfuz dan kerusi-kerusi panas di Kedah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ANALISIS | Pilihan Raya Negeri di Kedah dijangka menjadi antara pertempuran yang paling sengit dalam enam PRN akan datang.

Lebih-lebih lagi, pengundi di Kedah menggunakan peti undi untuk menukar kerajaan negeri sebanyak tiga kali sejak 2008.

Ini bermakna kemenangan Perikatan Nasional pada PRU15 tidak semestinya mencerminkan sentimen pengundi pada masa ini.

Alor Mengkudu

Salah satu kerusi di mana PH dan BN mengharapkan peralihan yang besar ialah di Alor Mengkudu, di mana Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar akan bertanding di situ.

Simulasi yang dijalankan Malaysiakini menunjukkan jika PH boleh membawa 80 peratus penyokong mereka di Alor Mengkudu keluar mengundi, Mahfuz boleh memenangi kerusi itu - meskipun 10 peratus pengundi BN beralih kepada PN.

Bagaimanapun, PH dan BN memerlukan 20 peratus peralihan undi daripada PN untuk hal itu terjadi.

Jika tiada peralihan undi berlaku, kemungkinan besar PN menawan Alor Mengkudu - yang terletak di kawasan parlimen Alor Setar.

Data pengundian pada PRU15 menunjukkan hampir 60 peratus pengundi di kawasan itu mengundi PN.

Mahfuz sendiri hanya meraih 23 peratus undi semasa PRU15, menyebabkan dia kehilangan kerusi parlimen Pokok Sena.

Persaingan di Alor Mengkudu juga akan menjadi perlawanan timbal balik antara Mahfuz dan bekas pemain bola sepak Muhamad Radhi Mat Din.

Kedua-duanya pernah bertembung di kerusi Pokok Sena pada 2018, dengan naib presiden Amanah itu memenangi pilihan raya berkenaan.

Pedu

Pengerusi BN Kedah, Mahdzir Khalid akan mencuba nasib sekali lagi selepas tewas di kerusi parlimen Padang Terap kepada PN pada PRU15.

Mahdzir akan kembali ke kerusi Pedu yang terletak di parlimen Padang Terap.

Dia sebelum ini merupakan Adun Pedu selama dua penggal dari 2004 hingga 2013.

Mahdzir juga merupakan menteri besar Kedah dari 2005 hingga 2008 dan dispekulasi akan menjadi calon PH-BN bagi jawatan itu sekiranya gabungan itu menawan negeri berkenaan.

Mohd Radzi Md Amin dari PAS memenangi Pedu dengan hanya 43 peratus undi pada 2018, manakala data PRU15 menunjukkan hanya 54 peratus pengundi di situ mengundi PN.

Ini bermakna sebarang penurunan peratusan keluar mengundi untuk PN atau perubahan kecil 5 peratus undi ke arah BN boleh menyebabkan kemenangan kepada Mahdzir.

Jeneri

Menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memenangi Jeneri dengan 46.3 peratus undi pada 2018.

Ketua BN Bahagian Sik, Muhammad Khizri Abu Kassim bakal berdepan cabaran besar untuk menewaskan pengarah pilihan raya PN itu.

Kira-kira 67 peratus pengundi di kawasan itu mengundi PN pada PRU15.

Lunas dan Sidam

Lunas dan Sidam kedua-duanya dimenangi oleh PKR pada 2018.

Bagaimanapun, susulan Langkah Sheraton, penyandang untuk kerusi yang berjiran itu - Azman Nasrudin dan Robert Ling - kedua-duanya melompat ke Bersatu.

Azman yang merupakan penyandang DUN Lunas kini merupakan ahli parlimen Padang Serai dan tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri.

PN sebaliknya meletakkan ketua penerangan PN Kedah, Khairul Anuar Ramli untuk berhadapan dengan Shamsul Anuar Abdullah dari PKR.

Hanya 49 peratus pengundi di kawasan itu mengundi PN pada pilihan raya kecil tahun lepas, justeru pertandingan boleh menjadi sengit.

Di Sidam, Bau Wong Bau Ek dari PKR mempunyai peluang untuk memenangi semula kerusi itu - di mana hanya 33 peratus pengundi PRU15 mengundi PN.

Ling yang menyandang kerusi berkenaan akan digantikan oleh Juliana Abdul Ghani sebagai calon PN bagi Sidam.

Gurun

Johari Abdul dari PKR memenangi kerusi itu pada 2018.

Kini setelah menjadi speaker Dewan Rakyat, anaknya, Firdaus akan mempertahankan kerusi berkenaan.

Lawannya ialah pemain bola sepak dan bekas pemain tengah Kedah Darul Aman, Baddrol Bakhtiar.

Kira-kira 48 peratus pengundi di Gurun memilih PN pada PRU15, bermakna PH-BN perlu memperoleh peratusan keluar mengundi yang cukup tinggi jika mahu mempertahankan kerusi itu.

Abang Firdaus, Taufiq menggantikan Johari sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani pada pilihan raya umum tahun lepas.

Kerusi lain untuk diperhatikan

Kerusi-kerusi lain yang mempunyai calon yang kurang terkenal tetapi genting termasuk Pengkalan Kundor, Sungai Tiang, Bandar Baharu dan Kubang Rotan - yang kini disandang oleh PH dan BN - serta Kuah, Bayu, Pantai Merdeka, Kuala Ketil, Kuala Nerang, dan Kupang.

PH-BN berpeluang memenangi kerusi ini jika mereka boleh mempengaruhi antara 5 hingga 15 peratus pengundi daripada PN dan mendapat peratusan keluar mengundi yang baik.

Jika tidak, kerusi ini mungkin kekal atau ditawan oleh PN bagi membolehkan mereka mendapat majoriti yang lebih besar dalam dewan undangan negeri.

Bagaimana dengan Pejuang?

Pejuang mempunyai dua penyandang DUN di Kedah iaitu presidennya, Mukhriz Mahathir di Jitra dan setiausaha agungnya, Amirudin Hamzah di Anak Bukit.

Walaupun parti itu telah menyatakan sokongan kepada PN, Pejuang tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri, dan tiada ahlinya menyertai senarai calon PN.

Berapa bilangan kerusi yang dimiliki setiap gabungan?

PN mempunyai 21 kerusi DUN - salah satunya ialah DUN Belantak telah dikosongkan selepas penyandangnya Mohd Isa Shafie meninggal dunia bulan lepas.

Daripada keseluruhan kerusi PN, PAS memiliki 15 kerusi - termasuk Belantek - dan Bersatu mempunyai enam kerusi.

Pejuang - yang tidak bertanding pada pilihan raya ini - mempunyai dua kerusi.

Sementara itu Pakatan Harapan mempunyai 11 kerusi, di mana enam daripadanya disandang PKR, Amanah (3), dan DAP (2).

BN mempunyai dua kerusi, yang kedua-duanya diwakili Umno.

Apakah demografi pengundian?

Mengikut bancian pada 2020, Kedah terdiri daripada 80 peratus Bumiputera, 12.3 peratus Cina, 6.3 peratus India, dan 1.3 peratus kaum lain.

Daripada kerusi yang dipertandingkan, data pada tahun ini menunjukkan terdapat enam kerusi kaum campuran iaitu Derga, Gurun, Bukit Selambau, Sidam, Lunas, dan Kulim.

Terdapat juga satu kerusi majoriti Cina - Kota Darul Aman - dan satu kerusi majoriti bukan Melayu iaitu DUN Bakar Arang.

Sebanyak 28 kerusi lain mempunyai pengundi Melayu hampir 70 peratus atau lebih tinggi.

Pada pilihan raya umum ke-15, sebanyak 54 peratus pengundi di Kedah mengundi PN.


BACA LANJUT: PRN: Sampai mana gelombang hijau?