Anak Rais Yatim lawan sepupu di DUN Klawang
PRN | Anggota Exco Bersatu Danni Rais dijangka berhadapan sepupunya yang juga penyandang kerusi DUN Klawang, Bakri Sawir (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Menjelaskan pertembungan itu, Danni berkata perbezaan politik dalam kalangan ahli keluarga bukanlah perkara baru.
"Sebelum ini memang ada banyak contoh yang sama keluarga berlawan (dalam pilihan raya).
"Tetapi (segala) apa yang akan berlaku pada hari keputusan itu, kita akan terima," katanya seperti dipetik Harian Metro semalam.
Danni juga dilaporkan berkata akan bersaing secara sihat dalam pertandingan merebut kerusi DUN itu.
"Tidak ada nak serang peribadi dan sebagainya. Saya akan pamerkan apa yang saya boleh tawarkan," katanya lagi seperti dipetik Sinar Harian selepas majlis pengumuman calon PN di Negeri Sembilan.
Pada PRU14, Bakri yang bertanding kali pertama, menang dengan meraih 4,296 undi, menewaskan lawannya calon BN Baharuddin Jali, yang memperoleh 3,320 undi.
Bakri ialah anak saudara bekas ahli parlimen Jelebu dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim, yang juga bapa kepada Danni.
Sementara itu, Danni turut mengulas dakwaan faktor dirinya selaku anak Rais Yatim mempunyai pengaruh terhadap pencalonannya sebagai wakil PN.
Ketua Pemuda Bersatu Negeri Sembilan itu menambah, jika itu berlaku, namanya sudah lama diketengahkan sebagai calon.
"Pastinya semua orang akan cakap apa yang saya dapat dalam hidup disebabkan ayah saya dan saya tak nafikan itu. Banyak contoh lain misalnya Datuk Mukhriz Mahathir, Lim Guan Eng dan juga ahli keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tapi saya akan buat terbaik dengan peluang diberi ini. Cumanya saya bernasib baik kerana ada ayah seperti Tan Sri Rais Yatim," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai