Skip to main
Logo Malaysiakini

Warga Ipoh diseru kitar semula minyak masak, jana pendapatan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyarankan orang ramai membudayakan amalan mengitar semula minyak masak terpakai dalam usaha menjaga alam sekitar dan ekosistem selain menjana pendapatan.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata penduduk boleh sama-sama membudayakan amalan itu dengan memasang perangkap minyak di kediaman masing-masing.

Beliau berkata sehubungan itu sesi penerangan bagi memberi kefahaman kepada orang ramai juga dilaksana bagi memastikan perkara ini berjaya direalisasikan sepenuhnya.

“Pendidikan yang memberi pemahaman kepada orang ramai perlu dibuat terlebih dahulu supaya mereka memahami. Bila mereka faham tentang kepentingannya, baru kita akan fikir untuk tindakan susulan yang boleh dibuat terutama membabitkan soal penguatkuasaan pula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai Peringkat MBI di Dataran Dato’ Sagor di Ipoh, hari ini.

Katanya, buat masa ini tindakan penguatkuasaan terutama membabitkan pemasangan perangkap minyak telah dilaksanakan sejak 2010 terhadap premis restoran dan kedai makan di sekitar bandar raya ini.

Rumaizi berkata ia dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada para peniaga berkaitan kepentingan penggunaan kemudahan tersebut dalam mengatasi masalah pencemaran sistem perparitan.

“Sebelum ini, ada dalam kalangan pengusaha premis yang tidak bertanggungjawab membuang minyak ke longkang sehingga mengakibatkan ia tersumbat dan menjadi punca banjir kilat berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata ia dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Biovisma Sdn. Bhd. dan Tuck Soon Eco Resources Sdn. Bhd. selain bertujuan meningkatkan sumber pendapatan para pengusaha premis makanan melalui penjualan minyak masak terpakai.

“Program ini telah dilaksanakan sejak Mac lalu dan sambutannya amat menggalakkan. Mereka bukan sahaja menjana pendapatan sampingan bahkan kesedaran berkaitan aktiviti kitar semula ini dapat ditingkatkan,” katanya.

- Bernama