Skip to main
Logo Malaysiakini

Lawan Sanusi: Calon BN akui 'underdog', peluang 50-50

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ketua Bahagian Umno Sik Muhamad Khizri Abu Kassim diberi tugas sukar dalam PRN kali ini, iaitu untuk mencabar menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di DUN Jeneri.

Walaupun dengan tugas berat itu, Khizri tetap bersemangat menjelang hari penamaan calon esok.

Bercakap dengan Malaysiakini, dia menyifatkan dirinya sebagai "underdog" dalam pertembungan itu yang pada satu sisi memberi kelebihan kepadanya.

"Saya tak rasa gentar. Bagi saya, ini perlawanan 50-50, siapa sahaja boleh menang.

"Saya ‘underdog’ jadi saya rasa baik saja kerana tiada beban untuk digalas.

"Sanusi adalah menteri besar dan penyandang (DUN Jeneri). Dia perlu jelaskan banyak perkara kepada rakyat, terutama kes yang sedang dilaluinya," katanya ketika ditemui malam tadi.

Pada PRU14, Sanusi menang di DUN Jeneri dengan meraih 46.3 peratus undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Dia kemudian dilantik menjadi menteri besar selepas PN menubuhkan kerajaan negeri susulan keruntuhan pentabdiran PH pada 2020.

Sejak itu populariti PN dan juga Sanusi mula meningkat.


Baca: Sanusi, aset atau liabiliti PN?


Pada PRU15, 67 peratus pengundi di Jeneri mengundi PN.

Khizri berpendapat setelah menjadi menteri besar selama tiga tahun, Sanusi "tidak berbuat apa-apa" untuk pengundi di Jeneri.

Ditanya berkenaan kempen pilihan rayanya, dia berkata akan menawarkan jalan raya yang lebih baik serta pembangunan seperti membawa masuk bank dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di kawasan itu.

Namun tumpuan serangan Putrajaya terhadap Sanusi boleh sama ada mendatangkan kelebihan atau keburukan kepada calon BN tersebut.

Dia ditahan beberapa minggu lalu dan dihadapkan dengan dua pertuduhan menghasut berkaitan kenyataannya melibatkan Sultan Selangor.

Sementara itu, siasatan berkenaan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Sik juga sedang dijalankan.