Skip to main
Logo Malaysiakini

Senarai calon DAP P Pinang: Episod ini perlu ditutup, kata Chow

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow membayangkan rasa tidak puas hati dalam parti itu, berhubung pengguguran beberapa penyandang DUN dalam PRN kali ini, bukanlah isu besar.

Chow berkata DAP Pulau Pinang tidak menerima sebarang makluman berkenaan boikot di kalangan ahli dan penyokong, selain dua bekas ahli parti yang bertanding sebagai calon bebas.

Namun dia berkata ia tidak akan menjadi isu memandangkan DAP berkempen sebagai satu pasukan, bukannya individu.

"Ini (rasa tida puas hati) adalah episod yang perlu ditutup, agar kita boleh buka episod (PH) menang untuk penggal keempat (sebagai kerajaan Pulau Pinang)," katanya.

Dua bekas ahli DAP yang dijangkan bertanding bebas adalah Satees Muniandy yang akan mempertahankan kemenangannya di Bagan Dalam dan David Marshel di Perai.

Antara penyandang yang digugurkan di Pulau Pinang adalah lima exco iaitu P Ramasamy, Chong Eng, Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan Yeoh Soon Hin.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata keputusan itu dibuat sebagai usaha untuk meremajakan DAP dan memberi peluang kepada muka baru untuk membawa nafas baru kepada parti itu, yang sudah tiga penggal mentadbir Pulau Pinang.

Namun Satees mendakwa senarai calon ditentukan oleh seorang "maharaja" manakala Ramasamy berkata kalangan yang digugurkan dilihat sebagai sepasukan dengan Chow, dan pengguguran itu berkaitan dengan usaha menggantikan Chow sebagai ketua menteri.