Skip to main
Logo Malaysiakini

Amirudin: Kerjasama PH-BN akan bentuk 'gelombang perpaduan'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan wujud protes dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) selepas parti itu menjalinkan kerjasama dengan BN.

Namun, menurutnya, jika perkara itu dapat ditangani dengan baik, kerjasama PH dan BN akan membentuk gelombang baru yang lebih kuat.

Katanya, pencapaian cemerlang Kerajaan Perpaduan akan menjadi asas kepada kerjasama antara PH dan BN.

" Saya percaya 'backlash' (protes) mungkin ada tapi saya percaya jika kita menguruskannya (dengan baik), saya fikir ia akan menjadi gelombang perpaduan.

"Ya pasti (PH akan berkempen bersama BN), semalam pun kita (kempen) bersama (BN)," katanya ketika ditemui di Dewan Mutiara Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak.

Ditanya mengenai ejekan penyokong Perikatan Nasional (PN) terhadap PH dengan menyanyi lirik lagu ‘Hoi Hoi Ya Hoi’ - lagu yang sering dinyanyikan Pengerusi PH Anwar Ibrahim - Amirudin berkata ejekan adalah perkara biasa ketika kempen.

“Ejekan ni normal lah, kita pun boleh cakap mereka ‘hoi ya hoi’ ada juga (kes) Jana Wibawa," katanya lagi.

Lagu ‘Hoi Hoi Ya Hoi’ ciptaan P Ramlee sering dinyanyikan Anwar untuk mengkritik lawannya yang disifatkan sebagai penyamun. Lirik itu diadaptasi semula oleh Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet yang juga ahli PKR dalam lagu ‘Aduh Malaysia’.

Sementara itu, Ketua Umno Selangor yang juga calon DUN Gombak Setia, Megat Zulkarnain Omardin berkata dia sedia berdebat dengan calon yang bertanding dalam pilihan raya.

"Kalau ada tawaran (debat) saya ok. Kerana ini adalah satu cara bagaimana kita nak buat tawaran kepada pengundi dan rakyat boleh membuat penilaian atas segala bentuk tawaran yang boleh kita berikan.

"Jangan kita lihat pentas debat untuk pentas kita mengkritik, pentas untuk mengaib dan menghina sesiapa pun. Tapi, pada saya...saya mendukung cara berpolitik seperti itu," katanya ketika ditemui.

Ditanya mengenai peluang untuk menang di DUN Gombak Setia, Megat Zulkarnain berkata semua pihak mempunyai peluang.

Katanya, 90,000 pengundi di kawasan berkenaan akan menentukan wakil rakyat pilihan mereka.