Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi serah pada SPRM isu taja bas untuk pengundi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan lanjut jika tajaan bas untuk pengundi adalah satu kesalahan yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Fahmi berkata pihak berkuasa akan memantau untuk memastikan kempen berjalan dalam suasana harmoni selaras dengan prinsip demokrasi.

"Kita juga menerima nasihat daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM (Azam Baki), yang mengatakan menggunakan bas yang disewa oleh parti-parti politik untuk membawa pengundi pulang itu mungkin satu perkara yang perlu dielakkan.

"Jadi, saya serahkan kepada SPRM sekiranya perlu ambil apa-apa tindakan lanjut untuk menangani masalah yang kita tak nak berlaku," katanya ketika ditemui di Dewan Mutiara Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, hari ini.

Dua hari lalu, Azam menyifatkan penyediaan perkhidmatan bas buat pengundi Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) merupakan satu kesalahan.

Menurutnya, penyediaan bas buat pengundi bakal mempengaruhi keputusan mereka yang akan mengundi.

Pantau media sosial

Sementara itu, Fahmi menggalakkan calon yang bertanding supaya menggunakan platform media sosial bagi mengadakan debat untuk menyatakan tawaran mereka kepada pengundi.

Katanya, pihak berkuasa akan turut memantau penggunaan media sosial untuk berkempen bagi memastikan ia tidak menyentuh isu sensitif khususnya 3R (raja, kaum, dan agama).

"Beberapa hari lalu saya bermesyuarat dengan Tan Sri IGP (ketua polis negara) untuk melihat apa yang perlu dilakukan untuk memantapkan pasukan pemantauan.

"Terutamanya isu 3R dan beberapa perkara telah dipersetujui dan dilaksanakan dengan kadar segera," katanya.

Tambahnya jika mengambil pengajaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, jumlah kandungan yang dimuat naik di media sosial terlalu banyak dan sukar dipantau oleh pasukan kecil.

Selain itu, kerajaan telah mendapat kerjasama dengan penyedia platform media sosial seperti Meta dan TikTok untuk memastikan tiada kandungan yang melanggar peraturan ditetapkan sebagai sebuah negara demokrasi.