Skip to main
Logo Malaysiakini

Chow: Janji belum ditunai dimasukkan dalam manifesto bersama BN-PH

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ketua menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata gabungan PH-BN akan menyelesaikan janji-janji manifesto sebelum ini yang belum dipenuhi.

Mempertahankan kerusi DUN Padang Kota, Chow berkata janji itu akan dimasukkan dalam manifesto bersama yang akan dibentangkan dalam acara memperkenalkan kesemua 40 calon di negeri itu pada 1 Ogos ini.

"Kali ini istimewa sebab sebelum ini, tiada kerjasama antara dua gabungan (PH dan BN).

"Manifesto ini akan diperkenalkan sebagai manifesto gabungan dan calon juga akn diperkenalkan sebagai calon gabungan untuk menunjukkan kerjasama PH dengan BN," katanya dalam sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Selepas menubuhkan kerajaan tahun lalu, seruan mula timbul agar PH dan BN menggabungkan manifesto PRU15 mereka.

Pada Disember lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli malah berkata kabinet telah menugaskan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali untuk menubuhkan jawatankuasa untuk menyaring setiap manifesto dan memilih agenda yang akan diguna pakai.

PH dan BN di Kedah dan Negeri Sembilan juga sebelum ini mengumumkan mereka akan merangka manifesto bersama untuk PRN ini.

Sementara itu, Chow memaklumkan BN-PH Pulau Pinang akan memulakan beberapa aktiviti dan program untuk calon dan pengundi bermula hari ini.

Ia termasuk ceramah di setiap kawasan calon dan program Jelajah Madani yang akan diadakan di Seberang Perai dan kawasan pulau negeri itu pada 5 Ogos.

"Seperti kelaziman, DAP juga akan berhimpun pada jam lapan malam ini di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang untuk memperkenalkan calon kepada orang ramai," katanya lagi.