Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PN Batang Kali: Kepentingan parti atasi segala-galanya

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Berdepan penolakan dalam parti, calon PN bagi DUN Batang Kali Muhammad Muhaimin Harith hari ini menyeru rakan-rakannya dalam Bersatu supaya meletakkan kepentingan parti di atas segala-galanya.

Anggota Bersatu Hulu Selangor itu memberitahu Malaysiakini dia mengakui wujud pergolakan dalaman dalam bahagian itu sejak namanya disebut-sebut sebagai calon PN bagi kerusi DUN Selangor.

"Bagi kami ahli parti, kita ini kena hormat kepada lambang atau bendera parti.

"Sebab perjuangan atau matlamat melaksanakan impian atau strategi parti adalah diutamakan dahulu, bukan kepentingan individu.

Gambar fail.

"Yalah, kepentingan sesuatu yang kalau tidak dapat kita nak marah.

“Kita kena kawal emosi tu dan saya yakin insyaAllah mungkin mereka akan bersama dengan kita balik," katanya.

Terdahulu, Muhaimin diminta mengulas berhubung bahagian Bersatu Hulu Selangor yang menolak keputusan PN untuk mencalonkan dirinya di DUN Batang Kali.

Penolakan bermula minggu lalu berikutan spekulasi bahawa Muhaimin akan diletakkan untuk menggantikan ketua bahagian Md Anuar Mohd Nor, dengan beberapa ahli parti terpaksa membakar bendera PN (gambar, atas) dan menyiarkan gambar di Facebook untuk menunjukkan protes mereka.


BACA BERKAITAN:

Protes di Batang Kali: Biasalah, ada suka, ada tak suka, kata Hamzah


Gambar fail.

Ia juga menyaksikan Muhaimin dipecat daripada jawatankuasa kepimpinan bahagian pada 21 Julai.

Bahagian Bersatu itu kemudian secara terbuka mengumumkan bahawa mereka akan menyokong timbalan ketuanya Khairul Azhari Saut untuk bertanding di Batang Kali dan bukannya Muhaimin.

Ketika proses penamaan calon hari ini di Kuala Kubu Bharu pagi tadi, hanya sebilangan kecil pimpinan dan ahli Bersatu Hulu Selangor yang hadir menunjukkan sokongan kepada Muhaimin.

Ditanya jika tindakan boikot itu akan menjejaskan kempen PN di Batang Kali, Muhaimin (gambar, bawah) percaya pasukannya boleh menguruskannya dengan bantuan sekutu daripada PAS dan Gerakan.

"InsyaAllah kita rasa tidak akan terganggu dan kita ada cara nak menyelesaikan itu dengan bantuan rakan-rakan.

"Dan saya yakin pucuk pimpinan pun dah maklumkan kepada mereka untuk melaksanakan apa arahan yang jelas daripada parti sendiri," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Bersatu Hulu Selangor Ismail Md Nor ketika ditemui Malaysiakini menafikan bahagian itu memboikot Muhaimin.

Akur pilihan pimpinan tertinggi

Walaupun mengakui ada pemimpin bahagian tidak dapat menerima calon itu namun dia Ismail menjelaskan masih ada juga yang tetap akur arahan parti.

"Dia masih ahli lagi. Kalau bukan ahli kita bantahlah.

"Dia memang dilantik lah (dalam jawatankuasa bahagian Bersatu), lepas tu dibuang.

"Dah peringkat tertinggi memilih dia, terpaksa akur," jelasnya.

Ismail menambah, pemimpin bahagian lain yang menolak Muhaimin masih dialu-alukan untuk menyertai semula kempen mereka untuk PN di Batang Kali, termasuk Anuar yang menurutnya sangat diperlukan sekarang lebih dari sebelum ini.