KOLUM | 1965, Mahathir ingin hapuskan hak Melayu
Dalam satu ciapan di akaun Twitter bertarikh 27 Julai 2023, Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia bukanlah sebuah negara ‘berbilang bangsa’. Menurut beliau, Malaysia adalah negeri Melayu yang menampung orang dari negara lain. Dalam bahasa Inggeris, ciapan itu sebetulnya dilakukan dengan penuh waspada; ‘Malay country which hosts people from other countries.’
Makanya ia sukar dibaca sebagai satu penafian untuk warganegara Malaysia yang bukan Melayu. Meskipun ayat pertama dan kedua ciapannya adalah ‘Stop talking about Malaysia is a multi racial country. It is not.’ Kata ‘people from other countries’ atau ‘orang dari negara lain’ boleh jadi ditujukan kepada orang Indonesia, orang Kanada, orang Perancis, orang Rohingya, orang India; boleh jadi juga orang China. Namun demikian bila kita kembali kepada ayat pertama beliau, kita boleh berasa sangsi yang dimaksudkan dengan people atau orang itu adalah ‘bangsa’, ‘kaum’, atau etnik.
Jika benar itulah yang beliau maksudkan, maka hal ini sangat menarik untuk ditekuni. Ini kerana ciapan ini dilakukan menjelang Pilihan Raya Negeri, di mana beliau nampaknya membantu Perikatan Nasional. Selain menyerukan ‘perpaduan Melayu’ bersama-sama PAS, dan tergamak menemui pengkhianat-pengkhianat Langkah Sheraton; Mahathir juga sebelum ini menyatakan yang ‘tindakan mempromosi negara berbilang bangsa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.’ Beliau agak senada dengan Abdul Hadi Awang dalam menajamkan lagi cemuhan dan fitnah terhadap parti DAP dengan menghujahkan ‘ancaman DAP kepada orang Melayu dan Islam.’
Sebelum kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15, muslihat Mahathir Mohamad bagaimanapun boleh dijejaki lain sekali. Saya akan menjejerkan banyak contoh ucapan beliau yang memuji, mengiktiraf dan mengangkat hakikat bahawa Malaysia adalah negara berbilang bangsa. Bukan itu sahaja, Mahathir hendak menghapuskan hak-hak keistimewaan orang Melayu kerana menurut beliau ia menjadikan Melayu bangsa yang berharap dan lemah.
Sebagai contoh pada tahun 11 Ogos 1965, Mahathir Mohamad yang belum menjadi Perdana Menteri pada waktu itu dan mewakili Parlimen Kota Star Selatan telah mengatakan begini di dalam Dewan Rakyat;
“Saya harap tiap2 parti pembangkang, terutama yang membawa usul ini, janganlah memikirkan iaitu ini akan menjadi satu daripada alasan2 supaya dimasokkan, dichatitkan di dalam Perlembagaan kita hak2 bumiputra yang mana di sebut disini. Sabenarnya apa yang dikatakan hak2 bumiputra atau pun Malay privileges di dalam Perlembagaan kita bukan lah sabenar2nya hak, tetapi ialah satu chara untok mempertahankan pehak yang lemah, supaya pada satu masa, mereka dapat berdiri dan bertanding dengan lain2 kaum dengan tidak payah lagi bersandar kapada hak2 ini. Dengan chara kita chuma menuliskan di dalam Perlembagaan hak2 ini bukanlah akan terjamin kehidupan mereka (Ketawa). Saya tidak nampak apa2, yang saya kata tadi, yang boleh membawa kepada gelak ketawa. Saya bukan kelakar macham Ahli2 yang berchakap tadi. Saya tidak perchaya, saya sebutkan lagi tidak perchaya dengan diada-kan, dengan dichatitkan di dalam Perlembagaan hak2 bumiputra, maka ini akan membawa kapada kesenangan bagi orang2 Melayu. Apa yang mustahak ialah kita bekerja dan menggunakan apa yang dikatakan hak2 istimewa orang Melayu itu untok membangunkan orang2 Melayu orang yang boleh mempertahankan diri mereka dalam sabarang pertandingan. Dan pada satu masa kita akan buang sama sakali hak istimewa orang Melayu. Saya faham bahawa hak2 ini yang ada terchatit di dalam Perlembagaan pada masa sekarang juga ialah satu tanda kehinaan bagi orang2 Melayu. Ini menyipatkan orang2 Melayu saperti orang Red Indian di dalam Amerika di mana mereka itu mesti diberikan reserve supaya mereka itu dapat hidup di Amerika. Kita di-sini juga ada Malay reserve dengan kerana orang2 Melayu selalulah bersandar kapada reserve2 ini dan kalau tidak ada, mereka ta' ada-lah tanah. Inilah satu tanda bahawa kita ini lemah. Dan saya berharap hak2 ini ta' akan kekal dan kita akan berusaha, saya perchaya Parti Perikatan, bagitu juga Kerajaan Perikatan, akan berusaha supaya pada satu masa kita dapat membuangkan sama sakali hak2, janganlah menambahkan lagi hak2 ini.”
Ucapan Dr Mahathir di atas di buat di Parlimen dan masih boleh ditemukan dalam penyata atau hansard Dewan.
Tentu sepanjang 22 tahun pentadbirannya selaku Perdana Menteri, kita akan menemukan banyak ucapan beliau yang mengiktiraf Malaysia sebagai negara berbilang bangsa. Pada tahun 2018 setelah bersama-sama DAP memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, dan membentuk kerajaan; Mahathir yang menjadi Perdana Menteri buat kali kedua dalam satu ucapan video 49 saat sempena Hari Krismas telah mengatakan begini;
“Malaysia adalah sebuah negara yang aman, di mana rakyat berbilang kaum dan agama berhimpun bersama-sama untuk meraikan sambutan perayaan masing-masing. Manifestasi daripada budaya Malaysia yang inklusif dan diraikan tahun demi tahun, saya berharap sikap saling menghargai ini akan diteruskan dan diwariskan kepada generasi muda. Inilah yang menjadikan Malaysia unik, bersatu dan kuat.”
Perhatikan kata-kata atau frasa ‘rakyat berbilang kaum dan agama’ dan ‘budaya Malaysia yang inklusif’ pada 24 Disember 2018 itu. Ia sama sekali berbeza dengan apa yang diciapnya kali ini. Untuk rekod, Mahathir ketika itu memandang PAS sebelah mata. PAS juga menistakan Mahathir macam-macam.
Apa yang ditulis oleh Dr Mahathir di akaun Twitternya ini lain. Ia tampak satu lagi muslihat. Tidak ada sempadan negara di muka bumi ini yang menjadi milik satu bangsa. Allah menciptakan kita semua. Dalam pembuluh darah saya ada bahagian orang Cina kerana datuk kami dari China. Ada dalam kalangan kita yang juga berkongsi darah India.
Abdul Hadi Awang mahu penyokong PAS, dan Perikatan Nasional mengambil kira yang kononnya Mahathir telah kembali ke pangkal jalan. Hal ini sukar dihujahkan kerana Abdul Hadi Awang dan jalannya bukan mesti satu-satunya jalan yang disabdakan Nabi Muhammad SAW. Hadi bukan Nabi.
Ada banyak jalan ke syurga, salah satunya ialah jalan di mana umat Islam diminta berkasih sayang dan berbaik dengan bangsa dan mereka yang lain kepercayaan. Ini kerana Islam itu rahmat untuk semesta alam. Pun, jalan yang kita semua pasti tidak ke syurga ialah jalan rasisme. Adalah amat menyedihkan ada dalam kalangan kita yang kesasar dari jalan Allah di hujung usia mereka, iaitu jalan Rahmah.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai