Skip to main
Logo Malaysiakini

Peja: Ada pertikaian Lau tandingi kerusi Melayu, tapi makin reda

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengaku wujud pertikaian mengenai pencalonan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Dr Dominic Lau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kali ini pada awalnya tetapi keadaan itu dikatakan telah semakin reda.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bagaimanapun beliau percaya perkara itu tidak memberi kesan negatif kepada PN dan kebanyakan pengundi Melayu di DUN tersebut akan tetap memberi undi kepada Dominic.

“Ramai yang merasakan bahawa kerusi itu lebih sesuai diwakili oleh calon di kalangan orang Melayu, tetapi itulah keindahan yang ada pada PN di mana kita meletakkan calon bukan Melayu di kawasan Melayu.

"Jadi jangan bimbang, walaupun memang ada pertikaian pada mulanya namun selepas penamaan calon keadaan telah semakin reda dan kita yakin sokongan orang Melayu kepada parti,” katanya pada sidang media di perkarangan Pejabat Bersatu Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Semalam, media melaporkan tiada kelibat penyokong PAS mengiringi pencalonan Lau yang merupakan Presiden Gerakan di pusat penamaan calon di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar manakala dianggarkan kurang 100 individu di kalangan ahli Gerakan dan Bersatu berkumpul di pusat penamaan calon itu.

Tindakan itu dipercayai dilakukan selepas PN kekal dengan pendirian menamakan Lau dan menolak Setiausaha Pas Pulau Pinang Iszuree Ibrahim sebagai calon di DUN berkenaan yang mempunyai majoriti lebih 60 peratus pengundi Melayu.

- Bernama