Skip to main
Logo Malaysiakini

Debat Rafizi-Syahir dicadang berlangsung di Kelantan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemuda PH Kelantan menyatakan kesediaan untuk menjadi penganjur dan tuan rumah bagi merealisasikan cadangan debat antara Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman

Ketuanya Hazmi Hassan berkata di peringkat pemuda parti kerajaan perpaduan pihaknya menyambut baik program berbentuk ilmiah dan demokrasi itu.

“Pemuda Perpaduan Kelantan bersedia untuk menjadi tuan rumah dan mencadangkan ia diadakan di Kelantan sesuai dengan jolokan Kelantan adalah sebuah negeri yang terkenal dengan sekolah politik terbuka

“Kelantan merupakan kubu kuat PAS, namun kami yakin Rafizi tidak kisah untuk berdepan dengan Syahir memandangkan isu ekonomi yang sebelum ini banyak dikritik Syahir secara sehala,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Ketua Pemuda PH Kelantan Hazmi Hassan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Syahir menunggu surat jemputan daripada Rafizi yang juga menteri ekonomi untuk berdebat.

Secara berseloroh Syahir (gambar, bawah) berkata sebab itulah dia sering batuk sejak semalam kerana namanya disebut oleh pemimpin PKR itu.

"Patutlah batuk-batuk sejak semalam. Rupanya ada orang jauh sebut-sebut nama kita.

"Saya ada di Bachok ni. Kita tunggulah surat itu sampai," tulisnya pada satu hantaran di media sosial hari ini.

Malam tadi, Rafizi melontarkan cabaran untuk berdebat dengan Syahir mengenai hal ehwal ekonomi.

Rafizi mengalihkan cabaran itu selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali dan menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dikatakan menolak untuk berdebat dengannya.

Sementara itu, Hazmi berkata cabaran debat sempena pilihan raya negeri (PRN) perlulah menjurus kepada polisi dan penyelesaian secara matang.

“Sebelum ini negeri Kelantan sudah biasa dengan debat atau wacana dan ia dapat diadakan dengan baik dan lancar.

“Tujuan debat bukanlah mencari menang kalah atau salah betul tetapi ia satu budaya politik baru yang lebih ilmiah dan demokrasi.

“Pemuda Perpaduan juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Pemuda PAS jika ia diperlukan untuk memastikan debat ini berjalan lancar dan adil,” tambah Hazmi lagi.