Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Zahid umum peruntukan tiada kena-mengena PRN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan pengumuman peruntukan oleh Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat mempunyai kaitan dengan pilihan raya.

Katanya, kerajaan persekutuan masih beroperasi dan akan terus membuat pengumuman penting.

Ini termasuk pengembangan RM50 juta kepada inisiatif Rahmah, yang diumumkan Anwar hari ini.

"Seperti yang saya umum tadi (peruntukan perluas program Rahmah), dia (pengumuman Zahid) tak ada kena mengena dengan PRN," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas maklum balas terhadap pengumuman Zahid itu.

Zahid yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah mengumumkan pada Jumaat bahawa kementeriannya akan memberi RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan motosikal di seluruh negeri itu.

Dia berkata akan ada lebih banyak bantuan disalurkan jika belia pada acara itu mengundi "gelombang biru dan merah" dalam pilihan raya negeri 12 Ogos.

Bagaimanapun, Anwar berkata walaupun ada yang mencadangkan agar kerajaan tidak membuat apa-apa pengumuman semasa tempoh kempen, ini tidak boleh dilakukan.

"Saya perdana menteri jaga negara sepenuhnya, kalau penting kita umum.

"Tapi saya sudah beritahu tak boleh guna jentera negeri kempen di negeri mulai semalam, hari penamaan calon sehingga hari mengundi. Itu keputusan jemaah menteri," katanya lagi.

Pengundian PRN akan berlangsung pada 12 Ogos depan.