Bateri baru tenaga suria akan diperkenal di luar bandar Sabah, S'wak
Satu sistem baru pembekalan elektrik luar bandar akan diwujudkan dengan menggunakan tenaga suria yang menggunakan bateri baru jenis “lithium-ion” seperti digunakan dalam kenderaan elektik (EV) kerana mampu bertahan lama berbanding bateri yang digunakan sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sabah dan Sarawak, sebelum ini telah pun mengguna pakai tenaga suria, namun ia berdepan kekangan termasuk masalah penggantian bateri.
"Semasa pelaksanaan program berkenaan, pembekalan bateri hanya diberikan kepada satu pihak sahaja, sedangkan kawasan Sabah dan Sarawak terlalu luas. Maka ia tidak praktikal dan mengambil masa sehingga akhirnya kawasan yang menggunakan tenaga suria akan mengalami kegelapan yang lebih lama.
Jadi dengan adanya teknologi baru, jangka hayat bateri itu lebih lama dan sistem penyelenggaraan juga akan ditukar dengan meletakkan beberapa pembekal di beberapa kawasan tertentu, bukan hanya satu pembekal untuk satu negeri sebesar Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik 4.0 di Kota Kinabalu hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas tentang laporan berkenaan kesediaan Sabah menjadi tapak projek rintis kedua selepas Selangor dalam pemasangan panel suria besar-besaran melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1.
Sementara itu, ditanya mengenai sasaran kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan di negara ini terutama di kawasan luar bandar, beliau berkata kementerian mempunyai pelbagai program tersendiri untuk membantu menjayakan usaha berkenaan.
"Kita tahu garis kemiskinan iaitu pendapatan di bawah RM2,250 untuk B40 dan dilaporkan terdapat kira-kira 130,000 isi rumah yang berada di dalam paras kemiskinan tegar di negara ini. Adalah menjadi hasrat Kerajaan Perpaduan untuk menyifarkan kemiskinan tegar itu sebelum akhir tahun ini," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai