Skip to main
Logo Malaysiakini

Bila nak turun harga minyak? Rafizi perjelas janji Anwar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Semasa pilihan raya umum (PRU) 2008, Anwar Ibrahim pernah berjanji jika dia menjadi perdana menteri maka harga petrol akan turun pada hari berikutnya.

Janji itu telah menjadi serangan berterusan bagi pengkritik Anwar sejak pengerusi PH itu menjadi perdana menteri November lalu, kerana harga bahan api itu kekal tidak berubah.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bagaimanapun berkata ada sebab mengapa janji yang dibuat pada 2008 itu tidak dapat dilaksanakan hari ini.

Menjelaskan latar belakang di sebalik ikrar di pentas kempen pilihan raya, Rafizi berkata pada masa itu harga bahan api telah melonjak secara drastik menyebabkan inflasi dan harga barang turut meningkat.

Bagaimanapun, kerajaan pada ketika itu juga berada dalam kedudukan fiskal yang baik dan mampu memberi subsidi minyak.

"Hutang (ketika itu) masih boleh ditangani, pendapatan kerajaan masih lagi boleh tanggung subsidi minyak.

"Jadi itu yang Datuk Seri Anwar Ibrahim kata, untuk kita bantu kesusahan rakyat segera, kalau menang sahaja PRU2008, harga minyak turun serta-merta," kata Rafizi pada majlis ceramah di Gombak.

Rafizi berkata keadaan sekarang berbeza dengan hutang kerajaan meningkat tiga kali ganda.

Bagaimanapun, Rafizi mendakwa formulanya telah membantu mengekalkan harga minyak supaya terkawal dan ia berkuat kuasa sejak era kerajaan PH pada 2018.

Ini dipercayai merujuk kepada harga siling yang dikenakan ke atas RON95 manakala RON97 dijual pada harga pasaran.

Kata Rafizi lagi, untuk mengekalkan harga semasa RON95 iaitu RM2.05 seliter, kerajaan perlu membayar subsidi RM1 untuk seliter.

Sementara itu, menurutnya peningkatan hutang, pertambahan kos pentadbiran kerajaan dan peningkatan kos subsidi, menyebabkan penurunan harga bahan api kini tidak dapat dilaksanakan.

Rancangan kerajaan sekarang adalah untuk menjadikan subsidi lebih bersasar untuk memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan sahaja.

Pun begitu, Anwar pernah berkata pada 2022 - sebelum PRU15 - bahawa harga minyak masih boleh diturunkan.

"Kalau dengan harga minyak sekarang tak ada sebab (harga) minyak tak boleh turun," kata presiden PKR pada Julai tahun lalu.

Anwar juga berkata punca hara minyak tidak turun ketika PH menjadi kerajaan pada 2018 kerana dia bukan perdana menteri ketika itu.