Skip to main
Logo Malaysiakini

'Masalah air: Majoriti penduduk Chetok masih guna telaga tiub'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Masalah air sering kali dibangkitkan di Kelantan dan menyedari keadaan itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri Chetok melihatnya sebagai satu keperluan mendesak, untuk menyelesaikan masalah itu.

Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi, 33, berkata keadaan air di negeri itu, menyebabkan majoriti penduduk di kawasan berkenaan bergantung kehidupan harian dengan menggunakan air ‘boring’ (telaga tiub).

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), melihat masalah itu tidak mampu diselesaikan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS, yang lebih 30 tahun memerintah Kelantan.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Kelantan pada PRN kali ini.

Mohamad Ezzat yang bakal berhadapan dengan calon PAS Zuraidin Abdullah yang juga penyandang kerusi itu, berkata selain masalah air, isu kemiskinan tegar di kawasan itu juga agak membimbangkan dan perlu dibantu dengan kadar segera.

“Kawasan ini memiliki 29,111 pengundi dan hampir 20 peratus merupakan golongan miskin tegar...jika diberikan mandat, saya akan membantu penduduk khususnya golongan miskin tegar untuk keluar daripada ‘kempompong’ mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bertekad untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.

Sementara itu Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain yang bertanding di DUN Panchor berkata kemudahan untuk golongan belia menjadi perhatian beliau, tanpa meminggirkan masyarakat setempat secara keseluruhannya.

“Saya bercadang untuk mewujudkan satu tempat khusus untuk golongan belia atau pusat sehenti di Pengkalan Datu merangkumi kawasan rehat, permainan jetski dan sukan permotoran yang lain,” katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan itu berkata selain itu, Pengkalan Chepa yang terkenal sebagai kawasan perindustrian di Kelantan, masih memiliki potensi untuk dinaik taraf menerusi pembukaan lebih banyak kilang.

“Ia bertujuan memberi peluang serta menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan belia Kelantan, seterusnya mengurangkan penghijrahan keluar ke negeri lain.

"Semua perancangannya itu akan menjadi mudah untuk direalisasi, jika kerajaan negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan," katanya yang bakal berdepan cabaran getir menentang penyandang kerusi yang juga Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah.

- Bernama