Skip to main
Logo Malaysiakini

Penoreh di Sik adu harga getah jatuh, Sanusi tuding Putrajaya

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Beberapa penoreh getah di Sik mengeluh mengenai penurunan harga lantai getah sekerap di Kedah.

“Hari ini RM2.25. Setiap hari harga getah turun. Ia tak naik, turun sahaja,” kata Chehasma Yusof, 63, ketika ditemui Malaysiakini di Kampung Betong, Sik pada Ahad.

Sementara itu, seorang lagi penoreh getah, Halimah Abdul Rahman, 52 berkongsi kesusahannya berdepan kenaikan kos sara hidup terutama dengan pendapatan yang saban hari tidak menentu.

“Bayangkan apa yang kita boleh buat dengan RM2.25. Satu kilogram gula dah lebih RM3.00. Dan (nilai) itu tidak juga tak sampai harga ikan yang boleh naik sehingga RM18 untuk satu kilogram - berapa kilo getah sekerap yang diperlukan (untuk membeli ikan ini)?

“Kami tertekan. Semasa musim hujan kami tak dapat menoreh (getah). Kadangkala kami hanya mampu keluar sebulan sekali,” tambahnya.

Kata Halimah lagi, penoreh getah hanya menyimpan jumlah getah sekerap yang mereka toreh manakala separuh lagi disalurkan kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Dengan harga semasa RM2.25 sekilogram, mereka memperoleh kira-kira RM1.15 bagi setiap kilogram getah sekerap yang mereka hasilkan.

Kedah menyumbang kira-kira 30 peratus daripada bekalan getah negara dan kebanyakan penoreh hidup di bawah paras kemiskinan.

Harap kerajaan Madani

Penoreh getah Mohd Zahir Nayan, 57, memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun dia mengharapkan wakil rakyat negerinya membantu mereka, satu-satunya harapannya adalah kepada kerajaan Madani.

Ditanya mengenai isu itu, menteri besar sementara Kedah Sanusi Md Nor hari ini berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kawalan ke atas harga komoditi itu.

Sebaliknya, beliau berkata harga pasaran getah sekerap ditentukan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

“Kerajaan negeri tidak boleh menaikkan harga kerana sekerap bukan di bawah negeri. Ada Risda dan LGM.

"Jika anda mahu ia menjadi FOB (free on board), itu harus diputuskan oleh LGM," kata Sanusi kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun, harga rujukan getah fizikal (free on board) yang disediakan Lembaga Getah Malaysia (LGM) hanyalah sekadar untuk rujukan sahaja. Harga dagangan sebenar adalah tertakluk kepada rundingan di antara pembeli dan penjual.

Sanusi berkata dia telah lama berjuang menghapuskan orang tengah dalam proses untuk membolehkan penoreh getah mendapat sepenuhnya hasil mereka.

“Kerajaan negeri tidak mengendalikan harga tetapi pasaran. Ini bermakna (perlu) menukar kerajaan pusat dan perdana menteri (Anwar Ibrahim) untuk menaikkan harga (getah),” katanya.