Skip to main
Logo Malaysiakini

PM akan kaji permintaan MIC mahu lebih peranan dalam k'jaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia akan mengkaji permintaan MIC agar wakil daripada parti itu dapat diberi peranan lebih besar dalam kerajaan.

Anwar berkata dia juga akan berbincang dengan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan berhubung perkara itu.

Bercakap di hadapan ribuan anggota MIC serta presiden parti itu SA Vigneswaran di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur, perdana menteri berkata dia tidak nampak sebarang masalah berhubung perkara itu.

“Perlu saya ulangi, bahawa anda telah menunjukkan keyakinan (terhadap kerajaan perpaduan) dan pastinya saya amat menghargainya. Saya dan pergi ke serata negeri, terutama di sebelah pantai barat, dalam setiap majlis yang saya sertai, saya lihat pemimpin MIC turut sama hadir beri komitmen serta penghormatan. Untuk itu, saya 'salute’ anda,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden MIC M Saravanan dan Ahmad Zahid, yang juga pengerusi BN dan presiden Umno.

Terdahulu, Vigneswaran dalam ucapannya membangkitkan isu kekurangan wakil daripada MIC dalam pentadbiran kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain menyuarakan rasa tidak senang hati dengan isu pembahagian kerusi untuk ditandingi dalam PRN.

MIC dan MCA sebelum ini mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding dalam PRN, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi PRU16.

Anwar yang juga pengerusi PH turut meminta supaya diberikan masa untuk menunaikan janji-janjinya, terutama berhubung usaha membasmi kemiskinan pelbagai kaum, termasuk kaum India.

“Tidak ramai dalam kalangan kaum Melayu saya berani bersuara secara terbuka, bukan hanya dalam Parlimen, tapi juga di luar Parlimen, untuk mengakui bahawa majoriti yang miskin adalah kaum Melayu, namun yang lebih miskin lagi adalah dalam kalangan kaum India. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menangani perkara ini, tanpa mengira bangsa.

Anwar berkata negara memerlukan satu dasar membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Dia seterusnya menyampaikan penghargaan terhadap MIC atas sokongan padu mereka kepada kerajaan perpaduan yang diterajui PH-BN, dan berkata adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membalas sokongan itu bagi menunjukkan rasa hormat kepada kaum India dalam negara.

“Yakinlah, bukan sebab saya mahu anda tunjuk sokongan kepada kerajaan dalam PRN, saya dah katakan perkara ini berulang kali sebelum ini,” katanya.

“Sebagaimana saya yakin dengan Vicky (Vigneswaran), anda (anggota MIC) perlu yakin dan percaya kepada saya,” katanya.

-Bernama