Skip to main
Logo Malaysiakini

PN guna naratif perkauman sebab tak boleh cakap tentang dasar - Teo

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perikatan Nasional (PN) cuba memainkan sentimen perkauman dan agama kerana tidak dapat mewujudkan wacana mengenai dasar dan inisiatif, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada pemantauan terhadap media sosial yang dijalankan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Menerusi pemantauan itu terdapat trend yang semakin meluas dalam kalangan golongan muda di media sosial yang memberi amaran bahawa “kafir harbi” akan mengambil alih negara ini.

“CIJ membuat kesimpulan bahawa watak utama dalam menyebarkan sentimen kebencian ini, jika bukan yang memulakannya, adalah PAS dan presidennya Abdul Hadi Awang.

“Saya tidak terkejut jika sentimen yang sama dimainkan sekarang, malah pada skala yang lebih besar.

“PAS dan PN tidak mempunyai keupayaan untuk membincangkan dasar dan inisiatif demi kepentingan negara sehingga mereka menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk memainkan emosi rakyat, dengan tujuan mendapatkan faedah politik jangka pendek,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, tindakan PAS dan PN akan memberi kesan jangka panjang yang sukar untuk diselesaikan.

Tambahnya, tindakan parti itu membenarkan penyokong menyalahgunakan media sosial untuk menyemai kebencian di kalangan rakyat Malaysia adalah pengkhianatan terhadap aspirasi negara berbilang kaum yang dibina atas kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu juga menegaskan bahawa dalam kalangan 40 ahli Parlimen DAP, terdapat tiga ahli parlimen beragama Islam iaitu Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid.

Malah Teo berkata ada ramai aktivis beragama Islam yang menolak usaha untuk menjadikan DAP sebagai momokan.

Salah satu contoh naratif "kafir harbi" baru-baru ini di media sosial yang diketengahkan CIJ termasuk penyiaran semula video TikTok yang memaparkan calon PAS Pantai Merdeka, Shahrir Long.

Dalam video itu, Shahrir berkata "kafir harbi mendapat 40 (kerusi parlimen)", yang dipercayai merujuk kepada DAP yang mempunyai 40 kerusi di Dewan Rakyat.

Pengguna Twitter yang menyiarkan semula video itu bagaimanapun mempersoalkan bagaimana Shahrir boleh memanggil 40 ahli parlimen itu sebagai kafir harbi sedangkan sebahagian daripada ahli parlimen itu beragama Islam.

Teo juga mengucapkan terima kasih kepada platform media sosial TikTok yang dia percaya telah melakukan yang terbaik untuk mengelak daripada digunakan sebagai alat politik.

“Pencarian di TikTok setakat ini tidak menunjukkan keputusan yang berkaitan dengan naratif 'kafir harbi'.

“Saya pasti TikTok melakukan yang terbaik untuk tidak menjadi alat kepada politik kepartian dan oleh itu saya ingin mengucapkan terima kasih,” kata timbalan menteri itu.