Fahmi 'konar baring, tegakkan benang basah’ - Dusuki
Penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani menganggap tindakan undang-undang terhadapnya daripada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil susulan dakwaan menyampaikan ceramah politik di masjid seperti “menegakkan benang yang basah.”
Mengulas mengenai notis tuntutan yang dihantar oleh Fahmi kepada dirinya dan seorang lagi individu berhubung dakwaan tersebut, Ahmad Dusuki berkata sepatutnya Fahmi yang patut membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor dan seluruh rakyat di negeri itu kerana didakwa menggunakan masjid untuk berucap.
“Punyalah dia ‘konar baring’ dituduhnya saya pula memfitnahnya pulak, inilah dikatakan oleh orang-orang tua dahulu cuba ‘menegakkan benang yang basah’.
"Jelas-jelas dia mengaku dan ada bukti bergambar di salah sebuah masjid di Rawang Selangor yg dia berucap di dalam masjid.
“Apa pun sewaktu tulisan ini ditulis, saya belum menerima surat tuntutan itu, benang basah baru nak ditegakkan, saya bersedia menghadapi semua ini..
“Sahabat-sahabat boleh mula sediakan popcorn atau super ring untuk lihat koner baring,” tulisnya pada satu hantaran di Facebook hari tadi.
Dalam notis tuntutan itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan menuntut antara lain penarikan balik kenyataan fitnah itu dan permohonan maaf secara terbuka daripada kedua-dua individu dalam tempoh 24 jam.
Sekiranya kedua-dua individu gagal memenuhi tuntutan tersebut, pihaknya telah diarah memfailkan tuntutan saman fitnah di mahkamah terhadap mereka dengan serta-merta.
Fahmi berkata notis itu bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan dia cuma menjelaskan mengenai tindakan kerajaan mengharamkan kumpulan muzik The 1975, seperti yang diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di situ.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan (gambar, atas) berkata hasil penelitian terhadap rakaman video berhubung ucapan Fahmi di dalam masjid itu menunjukkan ia tiada kena mengena dengan kempen politik, sebaliknya ia cuma penerangan berkenaan kumpulan muzik, The 1975.
Mengulas lanjut, Ahmad Dusuki pada satu hantaran Facebook berasingan menegaskan bahawa isu utama bukanlah isi kandungan ceramah politik, ceramah agama atau penjelasan konsert 1975 tetapi tindakan terhadap Fahmi.
“Pihak PDRM sepatutnya cepat bertindak terhadap menteri ini sebagaimana cepatnya pihak PDRM bertindak kepada MB Kedah sebelum ini.
“Berucap dan berkuliah di atas mana mana masjid dan surau di Selangor mestilah dan wajib mempunyai tauliah yang diberikan oleh Mais (Majlis Agama Islam Selangor), yang dah diberi tauliah pun boleh ditarik balik,” kata Ahmad Dusuki.
Dalam pada itu, Hussein Omar juga memaklumkan pihak polis telah mengenal pasti pemilik akaun yang menyebarkan video ucapan Fahmi itu dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan kerana membuat kenyataan tidak benar.
"Kita sudah ada nama dan alamat dia. Perkara benar tidak mengapa tetapi yang memfitnah adalah satu kesalahan,” katanya semalam.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai