Kebakaran di KLIA Terminal 1, asap tebal selubungi balai pelepasan
Satu kebakaran dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pagi tadi yang mengakibatkan asap tebal memenuhi ruang balai pelepasan di terminal utama lapangan terbang itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 8.30 pagi dan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setelah pemeriksaan dilakukan didapati kebakaran itu melibatkan sampah di dalam saluran sampah di tingkat 3 terminal itu dan tidak membabitkan struktur bangunan dan mangsa.
“Bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula yang terdapat di bangunan tersebut. Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan pada 9.10 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pukul 10.31 pagi,” katanya.
Sementara itu, Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) yang mengesahkan kejadian itu dalam satu hantaran menerusi Facebook memaklumkan kebakaran kecil berlaku di dalam bangunan terminal utama KLIA Terminal 1 dan segera dipadamkan oleh Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurutnya, kejadian itu tidak menjejaskan perkhidmatan penerbangan dan operasi lapangan terbang.
Pengendali lapangan terbang itu memberitahu siasatan mengesahkan kejadian itu berpunca daripada puntung rokok.
“Malaysia Airports ingin mengingatkan orang ramai bahawa terdapat kawasan merokok yang dikhaskan di semua lapangan terbang kami. Sila gunakannya untuk kemudahan anda dan demi keselamatan komuniti lapangan terbang kami,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan insiden kebakaran itu tidak menjejaskan operasi di KLIA Terminal 1.
“Pihak bomba sedang menjalankan siasatan lanjut punca kebakaran itu dan sekiranya ada unsur khianat atau sabotaj, pihak polis akan siasat dengan lebih terperinci,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai