Skip to main
Logo Malaysiakini

PH-BN ubah pengisian kempen susulan bonda Sultan T'ganu mangkat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan mengubah pengisian program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, sepanjang tempoh berkabung susulan kemangkatan bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah, awal pagi tadi.

Pengerusi Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata antara perubahan adalah yang melibatkan pengisian berbentuk hiburan, namun program ceramah akan tetap diteruskan memandangkan tiada halangan ditetapkan untuk program berkenaan.

"...yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh berkabung ini adalah program berbentuk hiburan. Ceramah tiada masalah.

"Begitu juga program Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada Ahad ini, (tetapi) akan ada perubahan tertentu," katanya kepada media sambil memaklumkan Majlis Ramah Mesra bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke di Kuala Terengganu malam ini, dibatalkan.

Terdahulu, media melaporkan Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah mangkat di Kuala Lumpur pada 3.17 pagi Khamis dan jenazah Almarhumah selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini petang tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Mohd Sophian Abu Bakar berkata Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan tempoh berkabung selama lima hari bermula hari ini dengan majlis tahlil akan diadakan selama lima malam berturut-turut di Balai Islam, Istana Syarqiyyah mulai malam ini.

- Bernama