10 tahun dihurung lalat, penduduk Samak Jeram hilang sabar
Penduduk Kampung Samak Jeram, di Kuala Selangor tidak tahan lagi setelah lebih 10 tahun berdepan isu gangguan lalat.
Mereka membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor petang semalam bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap ladang ayam berhampiran yang dipercayai menjadi punca masalah itu.
Ladang yang terletak kira-kira 150 meter dari rumah beberapa penduduk itu didakwa menyebabkan serangan lalat sejauh satu kilometer merentasi seluruh kampung berkenaan.
Jurucakap penduduk, Raja Shariff Raja Sahadan, memaklumkan pemberita bahawa pemilik ladang itu pernah didenda pada 2013, tetapi tiada tindakan lanjut ambil sejak itu.
“Masalah ini sudah berlarutan selama lebih 10 tahun, walaupun pada mulanya diberi perhatian pada 2013.
“Cuma kami kecewa kerana ladang ini masih beroperasi sekian lama walaupun ada aduan daripada penduduk setempat,” katanya.
Raja Shariff yang turut membuat laporan polis bagi mewakili penduduk kampung berkata, mereka kini hilang sabar dan akan terus mendesak tindakan undang-undang diambil jika serangan lalat itu berterusan.
Susulan pemeriksaan yang dijalankan Majlis Perbandaran Kuala Selangor, ladang ternakan ayam itu diarahkan tutup sementara kerana melanggar peraturan kesihatan dan keselamatan.
Ladang ternakan ayam itu dijangka menjalani kerja-kerja pembersihan sebelum boleh beroperasi semula.
Menurut laporan Kosmo! semalam, pemeriksaan bersama pihak berkuasa tempatan, polis dan Pejabat Veterinar Kuala Selangor mendapati ladang itu menempatkan 224,000 ekor ayam yang hampir mencapai tempoh matang untuk dipasarkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS, Jerriee Ab Manaf berkata pemilik ladang turut didapati tidak menguruskan pelupusan bangkai dengan baik, berlaku ketidakcekapan rekod kawalan serangga perosak secara konsisten dan pengurusan najis ayam yang tidak bersesuaian.
Ladang berkenaan diarah tutup serta-merta dan pemilik ladang turut diarah menyembur racun serangga tiga kali sehari.
Mengulas lanjut, Raja Shariff berkata penduduk kampung masih tidak berpuas hati dengan langkah tersebut kerana mereka sejak awal menutut agar ladang ternakan ayam itu ditutup sepenuhnya.
“Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku. Tapi jika ladang ini terus beroperasi dan kami tak nampak sebarang perkembangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kami secara serius mempertimbangkan untuk membawa kes ini ke mahkamah.
“Sebagai penduduk, kami dah penat. Kami tidak berniat untuk tutup periuk nasi sesiapa atau punca pendapatan pemilik ladang.
“Kami hanya minta mereka hentikan operasi berhampiran rumah kami dan pindah ke tempat lain," katanya.
Penduduk juga menggesa pihak berkuasa menyiasat lesen ladang ternakan ayam itu dan mengambil tindakan sekiranya ia dijalankan secara haram.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai