Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS S'gor salahkan DAP dalam isu pindaan enakmen, kod pakaian

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Dalam usaha untuk merampas Selangor, PAS dalam kempen ceramahnya di kawasan majoriti Melayu di negeri itu menyerang DAP dengan mengaitkan parti terbabit dengan isu pindaan enakmen penukaran agama kanak-kanak secara sepihak.

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir ketika berucap di Kampung Sungai Yu, Tanjung Karang malam tadi mendakwa, penyandang Sspeaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim merupakan dalang di sebalik halangan terhadap cadangan pindaan enakmen berkenaan.

“Kita bimbang apabila pulangkan balik kepada ibu, hidup dalam keadaan masyarakat yang bukan Islam, apa jadi pada agama anak-anak tadi?

“Saya difahamkan daripada Adun-Adun kita, (cadangan pindaan itu) telah ditaklimatkan kepada semua… Maknanya telah dapat perkenan pun daripada pihak atasan, daripada pihak majlis agama Islam (Mais), tapi masuk sidang dewan negeri, ditolak, tak bincang langsung.

“Sebab apa tak dibincang? Sebab speaker dewan negeri ni dari DAP tuan-tuan... tu duduk kat Sekinchan tu, itu pun kita nak kena kalahkan,” katanya merujuk kepada kubu kuat DAP di Selangor.

Sekinchan juga merupakan kawasan yang diwakili Ng selama empat penggal berturut-turut.

Pindaan yang dicadangkan bertujuan untuk menukar perkataan tersebut kepada "ibu atau bapa."

Baju Melayu dalam DUN

Tidak cukup dengan itu, isu-isu lain yang berkaitan agama dan bangsa turut dimainkan dalam ceramah Roslan Shahir di hadapan hampir 100 penyokong PN yang memakai baju gabungan berkenaan.

Dia kemudian meneruskan kritikannya terhadap Adun Sekinchan yang fasih berbahasa Jawa itu.

Roslan membangkitkan isu penetapan kod pemakaian ketika persidangan DUN yang hanya mengehadkan penggunaan baju Melayu pada hari Jumaat.

Ng Sue Lim

Ng ketika itu memberitahu dia inginkan semua Adun berpakaian kemas sut lounge dan mendakwa diberikan kuasa untuk membuat keputusan berhubung kod pakaian di bawah peraturan mesyuarat 87(7) dan enggan melanjutkan hal tersebut.

“Speaker daripada DAP, dia kata di Dewan Negeri Selangor, hari Jumaat saja boleh pakai baju Melayu, hari lain pakai kot.

"Ketika tu, Umno bersama-sama dengan kita (PAS).

“Kita datanglah pakai baju Melayu. Ini baju kebangsaan, siapa kamu (Ng) untuk cakap kita tak boleh pakai baju kebangsaan, betul tak?

"Nak dihalau keluar dewan, tuan-tuan… akhirnya esok terpaksa.

“Kalau pakai baju Melayu, tak boleh masuk sidang dewan. Peraturan apa kamu ikut? Ini peraturan yang diputuskan oleh speaker. Speaker dari mana? Dari DAP.

“DAP dari mana? Dari Pakatan Harapan. Nak undi lagi Pakatan Harapan? Biar sedar kita orang Melayu ni," katanya.

Bukan solat depan TV saja

Roslan Shahir kemudian menekankan kepentingan hak-hak orang Melayu tidak dipijak sewenang-wenangnya.

Dia turut memberi amaran bahawa DAP akan merampas 15 kerusi daripada 56 kerusi DUN sekiranya Melayu-Islam tidak bersatu.

Pada PRU ke-14, PKR memenangi 21 kerusi DUN Selangor diikuti DAP (16), Amanah (8), Bersatu (6), Umno (4) dan PAS hanya satu iaitu DUN Sijangkang.

Roslan berkempen untuk calon PN bagi DUN Permatang, Nurul Noh, yang juga merupakan anak kepada bekas ahli parlimen Tanjong Karang selama enam penggal berturut-turut, Noh Omar.

Permatang merupakan salah satu daripada dua DUN di bawah kawasan parlimen Tanjong Karang. Satu lagi DUN ialah Sungai Burong.

Selain mengkritik Ng, Roslan Shahir turut menujukan serangannya terhadap pemimpin PH yang lain dengan menjelaskan orang yang perlu dipilih nanti mestilah lebih baik daripada pengundi, bukan sekadar tahu menyanyi dan menari.

Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, Roslan Shahir menggesa hadirin supaya tidak menyokong pemimpin yang hanya “sembahyang dalam TV sahaja.”

“Kata Allah, pemimpin dalam kalangan kamu adalah orang yang beriman, (justeru orang yang) macam mana?

"Yang pertama dia mendirikan solat; jangan ambil pemimpin yang tak sembahyang, jangan ambil pemimpin yang curi-curi sembahyang, jangan ambil pemimpin yang sembahyang dalam TV saja, masuk dalam TV, masuk live dia duduk depan.

"Apabila menyanyi, dia pun menyanyi, bila menari dia pun menari. Jangan ambil pemimpin macam itu,” katanya.

[Baca berita asal]