Anwar dan UIA: PM masuk universiti untuk kempen?
Pembangkang mendakwa mahasiswa universiti tidak bersama PMX, Anwar Ibrahim.
Pembangkang juga mendakwa Anwar memasuki universiti sekarang ini untuk berkempen, bukan untuk berkongsi ilmu kerana Anwar tidak ada nilai intelektual, sekadar lulusan general degree pengajian Melayu daripada Universiti Malaya sahaja.
Tidak terkata saya dengan dakwaan pembangkang ini.
Hendak faham intelektual Anwar, lihat sumbangannya kepada UIA. Beliau adalah presiden UIA selama 10 tahun (1988 hingga 1998).
. Semasa menjadi presiden, beliau mengukuhkan kejayaan universiti yang mengajar dalam aliran Bahasa Inggeris dan Arab ini dengan membangunkan Islam sebagai "Ummatan Wasatan", agama yang menolak ketaksuban dan ekstremisme.
Hendak kata Anwar tidak intelek bagaimana jika realiti menunjukkan Anwar suka membaca dan suka majlis ilmu.
Apabila bercakap, pelbagai nama buku yang disebutnya baik itu John Voll, John Esposito, Samuel Huntington, Francis Fukuyama, Edward Said dan lainnya. Itu belum lagi dikira literatur Islam yang disebutnya.
Memang luar biasa.
Semasa menjadi presiden UIA, beliau menubuhkan International Institute of Islamic Civilisation and the Malay World (ISTAC) yang banyak membincangkan tokoh-tokoh hebat Islam seperti Imam Ghazali, Al-Farabi dan Ibn Khaldun. Sarjana hebat negara seperti Syed Naquib Al Attas, Prof. Kamal Hassan, dan Prof. Osman Bakar membangunkan ISTAC ini.
Anwar bukan sahaja bersama kepimpinan negara menubuhkan UIA pada tahun 1983, tetapi lebih utama beliaulah yang membangunkan UIA. Jasanya pada UIA besar sekali dalam menjadikan universiti Islam ini both intellectually rigorous and socially relevant.
Seingat saya, pada tahun 1985, perbincangan yang cukup popular pada waktu itu ialah Intellectualization of Islam dan Islamization of Knowledge.
Konsep ini dibangunkan oleh sarjana hubungan antarabangsa Islam yang terkenal, Dr Abdul Hamid AbuSulayman, warga Saudi yang menetap di Washington, yang kemudiannya dibawa oleh Anwar menjadi rektor UIA.
Inilah sumbangan Anwar yang cukup besar kepada UIA. Dengan usaha beliaulah pelajar sekolah agama boleh menjadi peguam sebab sebelum ini tidak ada universiti yang menerima lulusan sekolah Arab untuk mengikuti kursus undang-undang.
Jelas, jasa Anwar kepada UIA besar. Sejak 1987, universiti ini telah melahirkan 70,000 graduan dari lebih 100 negara di seluruh dunia. UIA semakin berkembang dan bersaing rapat dengan universiti hebat Malaysia yang lain seperti UM, UKM, USM, UPM, dan UTM.
Sejarah UIA ini perlu diketahui dan mahasiswanya perlu berbangga dengan kehebatan universiti ini sebagaimana saya bangga dengan UKM sebagai universiti watan negara.
Dengan jasanya ini, apa pun tanggapan pembangkang terhadap Anwar, beliau telah meninggalkan jariah yang besar untuk rakyat dan negara.
MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai