Skip to main
Logo Malaysiakini

Noh ramal tak mustahil akan ada 'PM dari DAP'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar “meramalkan” bahawa Putrajaya akan melakukan persempadanan semula kerusi pilihan raya bagi memihak kepada DAP.

Bercakap di Kampung Sungai Yu di Tanjung Karang malam tadi, Noh berkata ini akan memberi DAP peluang menang yang lebih besar dan seterusnya memiliki lebih ramai ahli Parlimen, dan akhirnya membuka peluang kepada parti itu untuk menuntut jawatan perdana menteri.

“Sebab hari ini saya tahu mereka tak puas hati, Mengapa? Tanjung Karang, Sabak Bernam, Sungai Besar pengundinya hanya sekitar 60,000 (setiap satu). Ada tiga parlimen, campur tiga baru dapat 180,000 pengundi, Tapi ada parlimennya tiga orang.

“Dalam bandar, di Bangi, pengundinya 300,000 orang, wakil rakyatnya seorang. Di Damansara, dekat 300,000 wakil rakyatnya seorang. Faham tak maksudnya? Pecah kawasan, dia akan buat dasar minimum 100,000.

“Kalau ini dasar dia buat, bermakna Parlimen Sungai Besar dengan parlimen Sabak Bernam satu parlimen saja,  Parlimen Tanjung Karang juga saya ramal akan hilang dan akan dimasukkan ke Parlimen Kuala Selangor,” katanya.

Noh berkata ramalannya akan menyaksikan kawasan bandar besar akan berpecah, manakala kawasan luar bandar yang lebih kecil seperti Sungai Besar dan Sabak Bernam akan digabungkan.

Ini, kata Noh, akan mengurangkan bilangan kawasan atau kerusi majoriti pengundi Melayu.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan perdana menteri mestilah seorang Melayu dan dengan kerusi yang mencukupi, berkemungkinan pemimpin DAP akan menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

Noh juga menyoal kepada hadirin siapa yang mereka fikir akan menang di kerusi yang bakal diwujudkan daripada persempadanan semula kawasan pilihan raya seperti di Damansara, Bukit Bintang dan Seputeh, dan orang ramai menjawab: "DAP".

Noh berkata apa yang diluahkannya itu bukan berunsur perkauman sebaliknya berdasarkan sejarah.

Dia mendakwa Kuala Lumpur telah dijual kepada kerajaan persekutuan pada 1974 oleh menteri besar Selangor ketika itu Harun Taib bagi mengelakkan Selangor "dikuasai" oleh DAP.

“Itu yang berlaku 13 Mei dulu, sebab dia dah tahu, Datuk Harun dah tahu dah kalau Kuala Lumpur dalam Selangor lagi, jawabnya sampai bila pun DUN Selangor kita takkan menang.

“Datuk Harun (buat) korban (pengorbanan), okay, keluarkan Kuala Lumpur dengan harapan bhawa dminan parti yang akan memerintah di Selangor ini ialah daripada orang Melayu. Tapi hari ni tuan-tuan, tak tahulah, apa yang dibuat macam dah tak jadi kenyataan. Dan DAP pula yang menjadi kerajaan dalam negeri kita,” katanya.

Noh mendakwa atas sebab yang sama, Singapura diusir daripada Malaysia.

Dia juga memberi amaran sekiranya DAP berkuasa, Singapura akan diterima masuk semula ke Malaysia.

“Saya tak cakap. Tunku Abdul Rahman yang cakap (pada) 1968.

“(Jadi) inilah anak-anak muda, tolonglah, tolong, kalau kita tak bersatu, kalau kita tak kuatkan perpaduan umat, saya bimbang.

“Tak payah halau, kita sendiri akan keluar dan lari dari negeri kita,” katanya lagi.