Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangan pelik saya minum kopi dengan orang parti lawan'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Calon PN bagi kerusi DUN Demit, Asri Daud memilih pendekatan damai dan harmoni sepanjang tempoh berkempen termasuk berkunjung ke rumah pemimpin parti lawan.

Menurut Asri, dia yakin melalui sentuhan dan tautan damai akan menjayakan visinya untuk membentuk masyarakat bersatu-padu.

"Konsep saya sendiri adalah turun ke semua rumah-rumah penduduk, termasuklah mereka penyokong parti-parti yang lain seperti PKR, Umno dan Amanah, saya turun semua.

"Ke rumah calon (lawan), wakil calon, dan bekas calon parti lawan dan mereka memberi respon yang baik.

"Mereka sendiri sebut kita berlawan ini dalam liga persahabatan, maknanya saya faham situasi itu dan mereka faham kerana wadah parti yang meletakkan kita bertanding.

“Tapi dari satu sudut selari dengan visi saya untuk kita bentuk masyarakat di sini, boleh bersatu antara satu sama lain walaupun berbeza parti.

"Jadi jangan peliklah saya boleh minum di kopi bersama orang Umno dan PKR misalnya," katanya pada sidang media harian calon-calon PN Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan itu dicalonkan mewakili PAS bagi menggantikan penyandangnya Mumtaz Md Nawi yang kini merupakan anggota parlimen Tumpat.

Ke rumah pemimpin PH, BN

Asri akan berdepan dengan calon mewakili PH-BN yang mempertaruhkan bekas pegawai daerah Ismail Ghani daripada Amanah.

Sementara itu, Asri berkata dia juga berkesempatan turun berkempen dengan menziarahi rumah bekas calon PH dan BN yang bertanding pada PRU ke-13 dan PRU ke-14 di kerusi berkenaan.

Katanya, dia bersyukur kerana kehadiran ke rumah De Wan Ahmad Kamil (bekas calon PH DUN Demit) dan Wan Mohd Nazi Wan Hamat (bekas calon BN DUN Demit) diterima baik walaupun mereka daripada parti berbeza.

“Saya juga pergi ke rumah bekas calon yang bertanding sebelum ini, dan mereka berterima kasih dan gembira kerana saya calon pertama hadir ke rumahnya.

“Jadi maksudnya Alhamdulillah sentuhan begitu dirasakan menjadi satu tautan. Itulah hasrat saya untuk bertemu sesiapa saja dalam menjayakan visi ini,” jelasnya.