Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak Annuar Musa keluar Umno

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ketua Pemuda Umno bahagian Ketereh Afiq Amani Annuar keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diumumkan bapanya Annuar Musa, bekas pemimpin Umno yang dipecat, di Kota Bharu hari ini bersama beberapa pihak yang mengambil tindakan sama.

Ia diumumkan dalam program ramah mesra bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di kediaman Annuar di Kota Bharu.

Turut diumumkan pengisytiharan keluar parti oleh seluruh ahli jawatankuasa Umno cawangan Cabang Tiga Tuan Guru Haji Musa seramai 20 orang.

Selain itu, Annuar turut mengumumkan pengisytiharan keluar parti beberapa nama tokoh dan bekas pemimpin Umno.

Antaranya bekas datuk bandar Ipoh, Sirajuddin Salleh, bekas timbalan ketua setiausaha Kementerian Sumber Asli, Mohd Ibrahim Abu Bakar dan bekas ketua pemuda Umno Bagan Datuk, Nik Mohammad Azli Nik Ariffin.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman turut hadir pada majlis hari ini.

Sementara itu, Afiq berkata mulai hari ini dia akan berehat daripada politik tetapi akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Ditanya jika dia dipaksa supaya meninggalkan Umno, Afiq menjelaskan keputusan tersebut dibuat atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh pihak lain termasuk bapanya.

Menurut Afiq, tindakan itu diambil selepas melihat perjuangan Umno semakin tidak selari dengan perjuangan asal.

“Selepas beberapa bulan menjadi Ketua Pemuda Umno Ketereh, saya menggalas tanggungjawab berkenaan namun pada masa sama saya melihat Umno banyak lari daripada perjuangan asal.

“Perkara yang nyata apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng yang jelas berbaur perkauman.

Hilang semangat

“Selain itu, Umno dilihat mengenepikan rakan-rakan dalam parti iaitu MCA dan MIC sebaliknya menjulang rakan baru seperti DAP,” katanya.

Tambahnya, ini menyebabkan dia hilang semangat untuk terus berada di dalam Umno.

“Saya sudah dewasa dan tidak dipaksa oleh sesiapa atas tindakan yang dibuat hari ini termasuk bapa.

"Jika benar saya mahu mengikut perjuangan bapa, saya sudah keluar parti dari awal,” kata Afiq lagi.