Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin: PN akan jemput Dominic ceramah di Bayan Lepas

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin telah mengarahkan penganjuran satu lagi ceramah mega di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kali ini untuk menampilkan Presiden Gerakan Dominic Lau dan pemimpin lain gabungan itu dari Bersatu dan PAS.

Ini berikutan kemelut politik baru-baru ini yang menyaksikan Lau, yang bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas, didakwa dihalau oleh PAS daripada naik ke pentas untuk menyertai ceramah yang menampilkan pemimpin PN lain.

Muhyiddin berkata insiden itu berlaku kerana salah faham, dan PAS telah mengeluarkan permohonan maaf melalui setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

"Dengan kenyataan (permohonan maaf) yang telah dikeluarkan oleh PAS, saya percaya ada langkah-langkah susulan.

"Saya telah pun meminta supaya program ceramah besar diadakan di sana.

"Di mana calon-calon termasuk Dominic, tokoh PAS yang ada, Bersatu atas satu pentas yang sama," katanya pada sidang media di Shah Alam malam ini.

Pada malam Selasa, Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim menghalang presiden Gerakan daripada menyertai pemimpin PN lain di atas pentas untuk ceramah, malah memberitahu mereka supaya pergi kerana tidak diundang ke majlis itu.

Ahli PAS tempatan kecewa selepas Lau dinamakan sebagai calon PN bagi kerusi Bayan Lepas - kawasan majoriti Melayu - dan mengancam untuk memboikot pilihan raya.

Sebelum ini, Iszuree disebut-sebut bakal menjadi calon untuk kerusi itu.

Muhyiddin memberitahu sidang media hari ini bahawa apa yang berlaku di Bayan Lepas adalah insiden terpencil dan tidak menggambarkan sikap PAS atau PN terhadap mana-mana pemimpin mereka.

Dia juga percaya isu itu tidak akan menjejaskan keyakinan pengundi bukan Melayu terhadap gabungan itu.

"Ia tidak berikan gambaran itulah keadaan keseluruhan tempat-tempat (kerusi DUN dalam PRN)," kata pengerusi PN itu.