Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Elak jadi generasi terkurung

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Perubahan dan perkembangan teknologi telah mengubah corak kehidupan manusia. Martin Heidegger telah merenungkan tentang wujud hubungan timbal balas antara teknologi dengan manusia itu sendiri.

Di sini Heidegger berpandangan bagaimana teknologi moden telah menyebabkan wujudnya perasaan terasing (alienation) dalam diri manusia sendiri akibat kebergantungan terhadap teknologi.

Contohnya, media sosial mendorong kewujudan pesona diri yang ideal dan tidak mencerminkan identiti diri sebenar pengguna. Ia mewujudkan dua identiti yang kadang kala boleh berbeza sama sekali iaitu antara imej pengguna yang dipaparkan kepada umum di laman digital dan watak diri peribadi yang sebenar.

Selain itu, kaedah komunikasi secara digital yang menggantikan interaksi secara bersemuka telah menyebabkan berkurangnya hubungan emosi dan pemahaman dalam berinteraksi.

Ia berlaku apabila interaksi secara teks, emotikon dan mesej ringkas menggantikan perbualan secara langsung sehingga suatu yang dinyatakan secara humor boleh disalah fahami sebagai sendaan.

Masa terlalu banyak yang dihabiskan di ruang maya juga boleh memisahkan hubungan individu dengan pengalaman secara fizikal di dunia sebenar.

Urbanisasi yang menatijahkan perkembangan pantas perbandaran juga merupakan faktor lahirnya generasi terkurung atau indoor generation. Mereka yang tinggal di bandar lebih cenderung, selesa atau hanya mampu mendiami pangsapuri, kondominium, flat atau ruang tempat tinggal yang lebih kecil.

Kawasan luar (outdoor) yang terbatas dan gaya hidup yang sibuk menjadikan mereka lebih memilih melakukan aktiviti seharian dalam kediaman masing-masing; sama ada dari berinteraksi dengan rakan dan keluarga secara maya, belajar secara virtual, menonton rancangan penstriman tanpa henti sehinggalah bersenam di pusat gim tertutup.

Kesejahteraan mental, tubuh badan

Faktor lain ialah seperti perubahan cuaca ekstrim di bandar, termasuk pencemaran udara, bunyi dan lain-lain yang turut menyumbang kelahiran apa yang boleh disebut sebagai generasi terkurung.

Oleh itu, generasi terkurung yang dimaksudkan boleh dilihat pada dua aspek. Pertama, pada aspek pemikiran, di mana terasingnya jiwa peribadi dengan realiti dunia sebenar lantaran wujudnya herotan dunia digital; dan kedua, pada aspek gaya hidup yang terhasil dari aspek pertama yang mempengaruhi sikap dan tingkah laku.

Lantaran itu, ia turut memberi kesan pada dua aspek iaitu kesejahteraan mental dan kesihatan tubuh badan di mana kedua-duanya juga saling berlaziman. Pada aspek mental, ia boleh menjejaskan kesejahteraan minda apabila wujudnya rasa keterasingan sosial seperti rasa sunyi dan terpencil.

Masalah kurangnya pendedahan pada alam semulajadi (nature-deficit disorder) khususnya pada kanak-kanak boleh meningkatkan tekanan dan kebimbangan pada mental. Alam semulajadi memberi kesan ketenangan kepada minda dan mampu memberi mood yang baik.

Banyak kajian menunjukkan kurangnya pendedahan terhadap alam sekitar boleh menyebabkan ketegangan pada minda serta terjejasnya kreativiti.

Aspek kesihatan pula boleh terjejas apabila kurangnya penerimaan vitamin D dari cahaya semulajadi matahari yang biasanya hanya boleh didapati di luar.

Begitu juga kehidupan terkurung boleh mengganggu pernafasan dan menyebabkan alahan kerana keadaan udara dalaman rumah yang tidak berkualiti disebabkan ventilasi dan sistem pengudaraan yang tidak baik.

Aspek lain seperti gaya hidup kurang aktif dan cergas boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti obesiti dan kardiovaskular.

Memilih untuk hidup secara terkurung sudah pasti suatu cara hidup di luar norma. Al-Quran dalam beberapa ayat sebaliknya menyeru manusia untuk keluar ‘berjalan di muka bumi’ bertujuan mencari rezeki, melihat kekuasaan serta keagungan penciptaan-Nya.

Ia seperti yang dinyatakan dalam surah al-Mulk ayat 15 yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah…”

Selain itu, keluar yang dimaksudkan tidaklah semestinya dengan perlu mengembara ke pelbagai tempat tetapi cukup dengan merenungi dan menghargai suasana alam sekeliling dan melihat bahawa setiap proses kejadian dan fenomena yang berlaku adalah terjadi di bawah takluk kuasa Allah yang Maha Bijaksana.

Ini seperti yang dinyatakan oleh Allah di dalam Ali ‘Imran ayat 190-191 yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Oleh itu, Islam menekankan amalan tafakkur yang mengeluarkan manusia dari minda terkurung penuh tekanan dan kegelisahan kepada amalan membabitkan pemikiran, emosi dan imaginasi aras tinggi.

Ia dapat dicapai apabila hati langsung merenungi dengan mata hati kepada Pencipta dan bukannya lagi pada penciptaan dan proses keberlangsungannya. Pada aspek amalan pula, ibadah dalam Islam bukanlah ibadah kerohanian yang dicapai melalui pertapaan dan pemutusan hubungan dengan dunia luar.

Sebaliknya, ia menuntut kepada gerak laku secara bersama (berjemaah) dan mementingkan aspek sosial dan kemasyarakatan seperti yang boleh dilihat dalam solat berjemaah, ibadah haji dan kewajipan zakat.

Rasulullah s.a.w pula menunjukkan suri teladan mengajar umat baginda tentang kepentingan menghargai badan anugerah Allah, hidup secara bermasyarakat, saling bantu membantu dan dalam masa yang sama tidak meninggalkan bangun malam bermunajat kepada-Nya.

Terdapat banyak hadis tentang galakan Nabi kepada umat untuk memanah dan berkuda (bersenam dan menyihatkan tubuh badan); memenuhi jemputan (hidup bermasyarakat) dan lain-lain.

Antaranya adalah seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima: Membalas salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, hadir jemputan dan mendoakan orang yang bersin.”

Rumusannya, corak hidup masa kini tidak dinafikan telah menatijahkan lahirnya generasi terkurung. Namun ia suatu pilihan dan boleh diubah.

Pengamalan secara konsisten terhadap tuntutan ajaran Islam seperti di atas merupakan suatu solusi mengubah kehidupan seseorang dari rasa sepi dan terkurung kepada rasa dihargai dan menghargai.

Dalam masa yang sama, penggunaan gajet yang berlebihan perlu dikawal dan jika mencapai takat ketagihan ia perlu diubati. Islam adalah agama fitrah dan mengamalkan ajarannya dengan itu mengembalikan semula kehidupan semulajadi fitrah manusia yang azali.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.