Skip to main
Logo Malaysiakini

'Gelombang PN atasi PH cuma kenyataan politik Takiyuddin'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa gelombang Perikatan Nasional (PN) dilihat lebih kuat berbanding sokongan terhadap Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini hanyalah kenyataan politik semata-mata.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yakin sokongan rakyat terhadap PH amat positif berdasarkan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat setiap kali beliau turun padang.

"Tak mengapalah, itu kenyataan politik (Takiyuddin), saya di Kedah semalam, sambutan luar biasa baik. Kita tak boleh nafikan.

"Saya yakin akhirnya rakyat akan memilih politik yang stabil dan menolak pandangan ekstrem, di samping memilih politik yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di Bukit Mertajam hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Takiyuddin baru-baru ini yang mendakwa gelombang PN di enam negeri memberi isyarat jelas Kerajaan Perpaduan akan turun takhta pemerintahan nanti.

- Bernama