Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda cadang rombak sistem pendidikan, kuota ikut keperluan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Muda mencadangkan supaya sistem pendidikan di Malaysia dirombak menjadi sistem tadika hingga gred 12 (K-12) dengan peperiksaan kemasukan tunggal untuk kemasukan universiti.

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan bahawa selama beberapa dekad, pakar pendidikan di negara ini menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk melaksanakan kaedah itu berikutan banyaknya program prauniversiti.

“Kita ada STPM, matrikulasi, A-Levels, O-Levels, diploma dan banyak lagi pilihan untuk pelajar mendaftar selepas SPM yang mempunyai penilaian yang sangat berbeza.

"Oleh itu mengapa kita mempunyai pakar memberitahu kita bahawa kita perlu mengguna pakai sistem K-12 di mana pelajar hanya akan menduduki satu peperiksaan kemasukan untuk mendaftar ke universiti," katanya semasa sidang media di ibu pejabat Muda di Petaling Jaya hari ini.

Selain itu, Syed Saddiq mengesyorkan penubuhan jawatankuasa khas di Parlimen bagi membolehkan sistem itu dibincangkan dan digubal dalam masa terdekat.

Sistem pendidikan K-12 merujuk kepada struktur pendidikan komprehensif yang meliputi tadika hingga gred ke-12 di banyak negara, termasuk Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Kanak-kanak dari umur lima dan enam tahun akan memulakan pendidikan formal mereka di tadika, yang melanjutkan ke sekolah rendah (1 hingga 5), sekolah menengah rendah (6 hingga 8) dan kemudian sekolah menengah tinggi (9 hingga 12).

Sepanjang gred, mereka akan bermula dengan mata pelajaran asas seperti membaca dan matematik, untuk diperkenalkan kepada julat pendidikan yang lebih luas dan kemudian memulakan pengkhususan individu yang sejajar dengan kerjaya masa depan mereka.

Di bawah sistem itu, pelajar biasanya lulus pada usia 18 tahun selepas menduduki ujian kemasukan universiti atau kolej piawai yang serupa dengan Ujian Penilaian Skolastik (SAT) di Amerika Syarikat.

Ahli Parlimen Muar itu kemudiannya mengakui kebimbangan orang ramai mengenai sistem itu kerana ia mungkin bercanggah dengan kuota Bumiputera semasa di institusi pengajian tinggi.

Oleh itu, Syed Saddiq mengulangi saranan kepada kerajaan untuk menukar kuota sedia ada kepada kuota berasaskan keperluan yang akan memberi penekanan kepada latar belakang pelajar yang kurang bernasib baik berbanding berdasarkan bangsa atau agama mereka.

Syed Saddiq berkata walaupun majoriti golongan miskin adalah Melayu dan bumiputera, dia menekankan bahawa pendekatan berasaskan etnik adalah tidak seimbang dan sering disalahgunakan oleh golongan yang mempunyai keistimewaan itu.

“Malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri berkata ‘kroni’ mendapat manfaat daripada sistem sekarang, bukannya orang Melayu yang miskin.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa sistem pendidikan berasaskan keperluan tidak akan mengetepikan pelajar yang kurang bernasib baik di Sabah dan Sarawak atau mereka yang datang untuk belajar di bandar daripada keluarga susah.

"Adalah tidak adil untuk meletakkan pelajar bandar dalam barisan yang sama dengan seseorang yang berasal dari keluarga miskin," tambahnya.

Syed Saddiq kemudiannya menegaskan bahawa untuk mencapai usaha ini memerlukan politik dwipartisan, dengan menyatakan bahawa soal peluang pendidikan yang tidak sama rata adalah sesuatu yang harus diutamakan oleh wakil rakyat daripada semua parti.

Sebelum cadangan itu, Syed Saddiq menyebut Muda memutuskan untuk menangani situasi itu selepas perdana menteri semalam menyatakan kuota bumiputera dalam pendidikan tidak boleh dimansuhkan.

Semasa sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas, Anwar berkata jika kuota itu dibatalkan, Pakatan Harapan (PH) dan BN akan kalah dalam semua pilihan raya akan datang.

Anwar bertegas bahawa dia secara peribadi akan mengarahkan penyelesaian rayuan individu oleh orang bukan Melayu tetapi menyokong pemansuhan sistem itu akan "mencetuskan kekacauan di negara ini."

Sebelum ini, ketika melancarkan Ekonomi Madani, Anwar menyatakan bahawa kerajaan akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia daripada semua etnik, agama dan latar belakang secara adil dengan mewujudkan biasiswa dan penempatan sekolah berasrama yang akan mengutamakan golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menggesa kerajaan supaya menggalakkan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Dia berkata program TVET mempunyai kemasukan yang lebih rendah dan menyatakan kebimbangan bahawa bilangan pelajar akan berkurangan setiap tahun.

“Kerajaan membelanjakan RM8 bilion setiap tahun untuk TVET tetapi pengambilan masih lebih rendah daripada 50 peratus.

“Pelajar yang berada di TVET akan mempunyai kemahiran pekerjaan yang lebih tinggi malah diberi elaun bulanan tetapi kita tidak mahu berfikir di luar kotak,” tambahnya.