Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Muda patut bantu PH-BN, bukan mudahkan kemenangan PN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rakyat Malaysia tidak patut bazirkan atau pecahkan undi mereka kerana pertarungan dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini adalah antara gabungan PH–BN dan gabungan PAS dan Bersatu dalam PN

Saya sudah berusia 82 tahun. Saya tidak bertanding di mana-mana dalam enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini.

Baru-baru ini, saya terjatuh di rumah saya.

Namun, saya masih berkempen dalam enam pilihan raya negeri ini dan saya sesibuk mana-mana calon, bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain di tiga negeri, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) percaya yang mereka boleh menang di Sungai Pelek dan juga kerajaan negeri Selangor pada 12 Ogos.

Saya tidak mahu PN memenangi negeri Selangor dan saya tidak mahu mereka menang di Sungai Pelek.

Saya mahu Lwi Kian Keong dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek supaya dia dapat menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Sungai Pelek, baik orang Melayu, Cina, atau India, untuk lima tahun yang akan datang.

Saya mahu Amirudin Shari terus menjadi Menteri Besar Selangor untuk lima tahun akan datang untuk terus membangunkan Selangor.

Saya mahu undian yang banyak untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai tanda sokongan terhadap visi Ekonomi Madaninya untuk Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia.

Saya mahu para pengundi di enam negeri pada 12 Ogos ini menyelamatkan Malaysia, mengakhiri kemerosotan negara dalam dua dekad yang lepas, supaya kita dapat bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia.

Kita perlu maju di semua negeri, bukannya mundur.

Saya mahu Kelantan menjadi seperti Selangor, yang mencatatkan KDNK per kapita empat kali ganda lebih tinggi berbanding dengan Kelantan dan lebih maju dalam semua bidang, bukannya untuk Selangor yang menerima nasib seperti Kelantan.

Saya ada mesej untuk disampaikan kepada semua pengundi di keenam-enam negeri yang akan keluar mengundi pada 12 Ogos ini, terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.

Saya minta para pengundi semua membuat dua perkara: pertamanya, keluar mengundi untuk memastikan adanya kadar keluar mengundi yang tinggi; dan keduanya, untuk tidak memecahkan undi mereka kerana pertarungan dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini adalah di antara gabungan Pakatan Harapan–Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Setiap undi yang tidak dibuang atau dipecahkan akan memberikan manfaat kepada PN dan memberikan PN kedudukan yang lebih baik untuk memenangi satu-satu kerusi atau kerajaan negeri.

Saya pasti bahawa mana-mana pengundi yang tidak mengundi atau memecahkan undi mereka ini tidak mahu PN membentuk kerajaan negeri, tetapi undi-undi yang hilang atau terbazir ini akan membantu PN untuk membentuk kerajaan negeri.

Seseorang yang tidak mengundi atau membazirkan undi mereka mungkin tidak mahu PN membentuk kerajaan negeri, tetapi inilah keputusan yang mereka akan dapat.

Kerana inilah semua pengundi perlu keluar mengundi pada 12 Ogos untuk memastikan yang PN yang terdiri dari PAS dan Bersatu tidak dapat membentuk kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

Saya telah dedikasikan 58 tahun dari kehidupan saya untuk kepercayaan politik saya – untuk melihat sebuah Malaysia yang adil, demokratik, progresif, dan makmur, sebagai salah satu dari negara terbaik dunia.

Saya kagumi Muda dan calon-calon bebas yang bertanding dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini, tetapi demi kepentingan negara, mereka sepatutnya bantu gabungan PH–BN dan bukannya memudahkan PN untuk membentuk kerajaan negeri pada 12 Ogos.


LIM KIT SIANG ialah pemimpin veteran DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.