Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Kuala T'ganu peluang rakyat bersama K'jaan Perpaduan - Nik Nazmi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu laluan terbaik untuk rakyat Terengganu berada sealiran dengan Kerajaan Perpaduan, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata penduduk Kuala Terengganu boleh membuat perubahan pada PRK kali ini dengan menolak pembangkang dan bersama-sama kerajaan bagi memudahkan agenda pembangunan dilaksanakan.

"Kita tahu bahawa pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas tidak ada satu kerusi Parlimen pun di Terengganu dimenangi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

"Jadi, PRK Kuala Terengganu ini adalah peluang keemasan untuk rakyat bersama Kerajaan Perpaduan.

“Sudah tentu agenda kerajaan Persekutuan mudah untuk kita laksanakan di Terengganu," katanya pada ceramah khas di Bilik Gerakan Utama PKR Negeri Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Selain itu, Nik Nazmi berkata pengundi Parlimen Kuala Terengganu juga perlu menolak calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu baru-baru ini.

"Kita tidak memandang rendah keupayaan lawan...mereka memang lama di sini, tetapi kita tahu orang Terengganu ada trend tak ambil masa yang lama untuk tukar kerajaan. Tambahan pula dengan kes yang diputuskan...itu jadi kelebihan bagi kita," katanya.

Pada 27 Jun lepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada PRU15 selepas mendapati perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada pilihan raya itu.

- Bernama