Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin PN sanggup buat apa saja demi kuasa - Howard Lee

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) jelas menunjukkan mereka sanggup melakukan apa saja demi kuasa, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Howard Lee.

Lee merujuk kepada kenyataan pemimpin PN yang memberi gambaran pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri boleh membawa kepada pertukaran kerajaan pusat, meskipun ia hanya melibatkan pemilihan di peringkat DUN.

Lee menyifatkan usaha menggulingkan kerajaan di kala akta antilompat parti sudah dikuat kuasakan adalah menghina Parlimen dan menderhakai kepada Agong.

Tegasnya, kenyataan seumpamanya menunjukkan PN semakin berani mengancam kestabilan politik negara.

“Berkali-kali kebelakangan ini semenjak terbentuknya kerajaan perpaduan, duli-duli sultan dari Johor ke Perak telah menitah supaya kestabilan dan perpaduan diutamakan; masih lagi mereka berhempas pulas mengharubirukan politik negara dan mengancam kestabilan dan politik negara.

“Mereka semakin berani. Mereka semakin mengancam. Jika mereka tidak berhasrat menderhaka kepada Institusi Diraja dan mensabotaj pemulihan dan pembangunan negara, adakah PN sanggup memberi komitmen mereka tidak akan usahakan pertukaran kerajaan persekutuan apa jua keputusan PRN nanti?” kata Lee yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan persekutuan akan bertukar sekiranya PN menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Timbalan pengerusi PN itu berkata kemenangan gabungan itu sangat penting untuk menukar kerajaan persekutuan. Hadi tidak menjelaskan bagaimana pertukaran itu boleh berlaku.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dalam satu sidang media pula mempertahankan kenyataan bahawa kerajaan persekutuan boleh ditukar dengan pelbagai cara, walaupun negara mempunyai akta antilompat parti.

Mengulas hal itu, Lee berkata maksud tersirat Ahmad Faizal itu jelas terdapat agenda untuk menggugurkan kerajaan di peringkat Persekutuan, malah di negeri-negeri oleh pihak PN selepas PRN.

“Kerajaan perpaduan ini telah berjaya melalui ujian keabsahan serta memenuhi tatatertib perundangan di tiga peringkat, iaitu keputusan rakyat melalui pilihanraya, perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Yang Dipertuan Agong, dan pengabsahan Parlimen melalui undi kepercayaan yang mendapat sokongan dua pertiga.

“Dengan kuat kuasanya akta antilompat parti, segala usaha peralihan kuasa termasuk apa jua selok belok perundangan, adalah satu pengkhianatan kepada rakyat, tamparan dan penghinaan kepada institusi Parlimen dan penderhakaan kepada DYMM YDPA dan institusi Beraja secara umum,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia kini mempunyai undang-undang yang melarang anggota parlimen mengalihkan sokongan dengan menyokong parti lain.

Bagaimanapun, sesebuah parti bebas mengalihkan sokongan dan membentuk gabungan dengan parti lain.

Sementara itu, Lee turut menyindir penolakan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin terhadap tawaran Agong untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat sebelum ini, selepas pilihan raya umum ke-15 pada Nov lalu.

“Bak kata pepatah orang lama; ada tangga, hendak juga panjat tiang. Tan Sri Mahiaddin ditawarkan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, tetapi titah telah ditolak bulat-bulat. Sekarang pula merancang untuk merampas kuasa,” katanya.