Skip to main
Logo Malaysiakini

Semak fakta: Video kononnya Takiyuddin kecam Sanusi tak betul

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Video ucapan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang kononnya mengecam menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kini tular di media sosial.

Dalam ucapan itu, Takiyuddin dipaparkan seolah-olah berkata PAS tidak pernah merestui Sanusi bertanding di mana-mana kerusi di Kedah.

Walaupun kata-kata yang diungkapkan adalah betul, semakan oleh Malaysiakini mendapati kenyataan Takiyuddin itu sebenarnya diambil di luar konteks.

Dalam video tular itu, kenyataan Takiyuddin adalah seperti berikut:

“Keduanya, Sanusi, menteri besar Kedahlah, tapi dalam parti dia ketua pengarah pilihan raya.

“Saya ini setiausaha agung parti, (seperti) bagaimana Hamzah (Zainuddin) dalam Bersatu.

“Saya nak mengesahkan PAS tidak pernah pada bila-bila masa mengiktiraf dia, dan beri laluan kepada dia untuk bertanding dalam mana-mana kerusi DUN di Kedah.” 

Meskipun petikan kenyataan Takiyuddin yang dibuat semasa ceramahnya di Ayer Hangat, Langkawi pada Ahad lalu adalah betul, namun adalah jelas rujukan yang dibuat itu bukan mengenai Sanusi.

Dia sebenarnya bercakap tentang bekas timbalan ketua Pemuda PAS Langkawi Safwan Hanif Shafie yang bertanding sebagai calon bebas di DUN Ayer Hangat.

Takiyuddin berkata, Safwan mendakwa mendapat restu daripada Sanusi untuk bertanding di Ayer Hangat, yang dinafikan oleh setiausaha agung PAS itu.

Dia kemudiannya mengeluarkan kenyataan dalam video tular itu, untuk menegaskan bahawa Safwan tidak disokong oleh PAS.

Safwan dipecat daripada PAS selepas bertanding sebagai calon bebas.

Turut dipecat ialah Timbalan Ketua PAS Langkawi Mazlan Ahmad yang bertanding sebagai calon bebas di Kuah.