Skip to main
Logo Malaysiakini

Chow jangka pertarungan sengit di barat Pulau Pinang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata tiga kerusi di bahagian barat Pulau Pinang dijangka berdepan pertarungan sengit dengan kemenangan tipis.

Tiga kerusi yang dimaksudkannya ialah Bayan Lepas, Pulau Betong dan Telok Bahang.

Chow, yang juga ketua menteri sementara Pulau Pinang, bercakap kepada pemberita selepas mengiringi Azrul Mahathir Aziz, calon PH bagi Bayan Lepas, semasa sesi bertemu pengundi di sebuah kedai kopi.

“Demografi pengundi di tiga kawasan ini berbeza dengan kawasan lain di Pulau Pinang.

"Sehingga kini, saya percaya keadaan masih agak sengit. Sama ada kita menang atau kalah, ia berkemungkinan akan ditentukan oleh beberapa ratus undi saja," kata Chow.

Jelasnya, dengan berbaki tiga hari lagi tempoh berkempen, PH mesti terus bekerja keras untuk mendekati pengundi.

Ketika ditanya antara tiga kerusi ini DUN mana yang mempunyai peluang paling tinggi untuk dimenangi PH, Chow berkata ketiga-tiga kawasan itu boleh dimenangi gabungan itu.

"Jika anda bertanya kepada orang yang berbeza, anda akan mendapat jawapan yang berbeza.

"Tetapi kita mesti terus bekerja keras di tiga kawasan ini," kata Chow lagi.

Ketiga-tiga kerusi DUN ini terletak di Pulau Pinang, dengan pengundi Melayu membentuk majoriti, dan kira-kira 30 peratus pengundi Cina.

Pada pilihan raya 2018, PH menang tiga kerusi ini, dengan Bayan Lepas diambil oleh Amanah, PKR di DUN Pulau Betong dan Telok Bahang oleh Bersatu yang ketika itu masih sebahagian daripada PH.

Selepas Langkah Sheraton, Telok Bahang jatuh ke tangan PN.

Bagaimanapun, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan usul pada Mac tahun ini untuk mengosongkan kerusi Telok Bahang, dengan alasan pelanggaran undang-undang negeri mengenai lompat parti yang menghalang wakil rakyat yang dipilih daripada berpaling tadah.

Pada pilihan raya negeri ini, calon PN bagi tiga kerusi ini ialah Dominic Lau (Bayan Lepas), Mohamad Shukor Zakariah (Pulau Betong) dan Muhamad Kasim (Telok Bahang).