Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita cedera ditikam teman lelaki

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang wanita cedera di perut dan lengan kiri akibat ditikam dengan senjata tajam oleh teman lelakinya, gara-gara tidak berpuas hati apabila mangsa ingin memutuskan hubungan dalam kejadian di kawasan parkir di sebuah kondominium, di Bukit Antarabangsa, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang ramai pada 2.52 pagi sebaik menemukan mangsa dalam keadaan cedera di kawasan berkenaan.

"Semasa kejadian, mangsa berusia 45 tahun berada di dalam kenderaannya apabila didatangi oleh suspek (teman lelaki) yang bertindak memancitkan tayar serta memecahkan cermin hadapan kereta.

“Wanita berkenaan kemudian melarikan diri dan suspek yang merupakan penganggur mengejarnya sebelum menikam mangsa menggunakan senjata tajam beberapa kali iaitu di bahagian tengah dan kiri perut serta lengan kirinya,” katanya dałam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan dengan menggunakan ambulans setelah dihubungi orang awam.

Menurut Mohd Azam, siasatan awal mendapati mangsa telah berkenalan dengan suspek berusia 41 tahun itu sejak tiga bulan lepas menerusi aplikasi OMI dan dikatakan tidak berpuas apabila mangsa ingin memutuskan hubungan.

Berikutan itu polis sedang mengesan lelaki terbabit yang mempunyai dua rekod jenayah kekerasan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan jalan menggunakan senjata.

- Bernama