Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada cabaran menanti calon BN di Sungai Panjang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Di bawah terik matahari Sabtu, pantai Sungai Nibong yang terletak di utara Selangor kelihatan sibuk dengan aktiviti hariannya.

Para pelancong berpusu-pusu ke pelbagai restoran terapung yang ada untuk menikmati makanan laut sambil meraikan keindahan pemandangan alam sekitar.

Tidak ketinggalan untuk turut serta ialah Mohd Imran Tamrin dan pasukannya yang berada di sana untuk beramah mesra dengan orang ramai.

Meskipun dia dikenali oleh beberapa pengunjung dengan sesetengahnya meminta untuk berswafoto, masih ada kalangan yang hanya kali pertama bertemu dengan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang itu.

Walaupun kunjungan tersebut disambut hangat oleh kebanyakan pengunjung, namun perlu difahami bahawa tidak semua mereka merupakan pengundi Sungai Panjang.

Mohd Imran (kiri) melayan permintaan orang ramai untuk bergambar

Ada antara orang yang hadir ketika itu merupakan pengundi Bangi dan Seri Kembangan.

Pada PRU lalu, PAS mendapat sokongan kuat di daerah mengundi Sungai Nibong - dengan hampir 60 peratus undi berpihak kepada parti tersebut berbanding 36 peratus kepada BN - Mohd Imran mungkin perlu bekerja lebih keras untuk menang.

Seorang ahli akar umbi Umno yang ditemui Malaysiakini berkata dia hairan apabila Mohd Imran dan pasukannya tidak mengamalkan gaya kempen tradisi parti itu dengan menemui pengundi dari rumah ke rumah.

"Ia menghairankan, mereka tidak mengadakan kempen dari rumah ke rumah, cara mereka berkempen berbeza," katanya.

Mudah menang jika kena cara

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Mohd Imran menafikannya.

Kata Mohd Imran, pasukannya sudah menjalankan kempen dengan kaedah tersebut.

“Kami ada (buat kempen dari rumah ke rumah), tapi tak semestinya calon akan pergi rumah ke rumah kerana calon ada perkara lain yang memerlukan kehadirannya.

“Jentera kami pergi dari rumah ke rumah secara langsung,” katanya kepada Malaysiakini.

Berasal dari Pekan Sungai Nibong, Mohd Imran adalah penyandang kerusi DUN Sungai Panjang dan merupakan seorang peguam bela serta penguam cara.

Sungai Panjang ialah satu daripada dua kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Sungai Besar yang terletak di bahagian utara Selangor. Satu lagi kawasan DUN ialah Sekinchan.

Dalam PRU ke-15 pada Nov tahun lalu, Sungai Panjang merupakan satu daripada banyak tempat dalam kawasan Selangor menyaksikan tercetusnya ‘gelombang hijau’.

Suasana persaingan di Sungai Panjang

Dalam PRU tersebut PN memperoleh 46.4 peratus undi di Sungai Panjang manakala BN ketinggalan jauh di belakang dengan hanya 29.3 peratus undi.

Bagaimanapun, ketika ini Mohd Imran - dan BN - mempunyai sekutu baru untuk membantunya mengekalkan kerusi tersebut, iaitu PH.

Jika semua pengundi PH semasa PRU Nov lalu (sebanyak 23.9 peratus) mengundi Mohd Imran, calon BN itu boleh menewaskan lawannya dengan mudah.

Selepas berakhirnya PRU ke-14 pada 2018, PH melantik Ketua Amanah Sungai Besar, Zainol Azmi, sebagai penyelaras kawasan Sungai Panjang. Ia merupakan langkah biasa yang diambil sesebuah parti sebagai persediaan untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Boleh terima keputusan pimpinan

Dengan sumber yang disediakan kerajaan negeri - yang turut ditadbir PH - Zainol dapat menganjurkan pelbagai acara untuk berhubung secara langsung dengan pengundi di kawasan itu secara tekal sejak lima tahun lalu.

Tetapi perubahan dalam landskap politik negara selepas PRU ke-15 memberi kesan kepada rancangan Zainol untuk bertanding di Sungai Panjang.

Dinamika politik menyaksikan Amanah-PH terpaksa menyerahkan kerusi DUN Sungai Panjang untuk ditandingi Mohd Imran - yang juga penyandang.

Ahli Jawatankuasa Amanah Sungai Besar Zairul Hafiz berkata pada mulanya Zainol agak kecewa kerana sudah melakukan begitu banyak kerja sejak beberapa tahun lalu.

Dia juga, kata Zairul, sudah dikenali ramai di Sungai Panjang.

“Sebenarnya orang di sini lebih mengenali Zainol berbanding Datuk (Mohd Imran),” katanya.

Bagaimanapun, menurut Zairul, ahli Amanah di kawasan terbabit menerima dengan terbuka keputusan daripada pemimpin atasan dan membantu Mohd Imran untuk mengekalkan kerusi berkenaan.

Zainol (tiga dari kiri) menyertai kempen Mohd Imran di Sungai Panjang

Zainol sendiri, katanya, terlibat secara langsung dalam kempen Mohd Imran.

Selain Zainol, pemimpin Amanah dan PKR setempat turut dilihat turun padang bagi menjayakan kempen calon kerajaan perpaduan. Penyelaras PKR bagi kawasan parlimen Sungai Besar, Azhar Achil, turut menganjurkan kejohanan snuker sebagai sebahagian daripada pasukan kempen Mohd Imran.

Sungai Panjang mempunyai 81.2 peratus pengundi Melayu, 16 peratus Cina, 1.5 peratus India, dan 1.3 peratus yang lain.

Selain itu, DAP Sungai Besar - yang mempunyai sejarah perseteruan yang panjang khususnya membabitkan ketua Umno di situ, Jamal Md Yunos - turut menampakkan perubahan.

Hubungan di antara DAP dan Umno Sungai Besar kini bertambah erat, khususnya selepas kerajaan perpaduan terbentuk.

Hubungan baik secara peribadi

Tinjauan Malaysiakini mendapati kedua-dua parti terbabit bekerjasama dengan baik dalam kempen untuk mengalihkan sokongan pengundi Cina DAP kepada Umno.

Pengarah Komunikasi DAP cawangan Bagan Sungai Besar, Francis Chia, memberitahu Malaysiakini, Jamal turut menganjurkan majlis makan malam bersama calon BN-PH bagi kerusi DUN Sekinchan, Ng Suee Lim, serta ahli akar umbi parti terbabit.

Chia juga berkata, persepsinya terhadap Jamal - yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai aksi menarik perhatian ramai - berubah selepas mereka menghabiskan lebih banyak masa bersama.

“Sebelum ini, saya berasa jengkel apabila melihat wajah Jamal... rasa macam melihat musuh.

"Tetapi selepas bercakap dengan Jamal, saya dapati personaliti dia agak okay," katanya.

Seorang lagi pemimpin akar umbi DAP yang enggan namanya disiarkan menganggap Jamal sebagai seorang oportunis boleh berubah pendirian mengikut keadaan semasa.

Dia juga menganggap pelbagai telatah Jamal sebelum ini hanyalah drama ahli politik terbabit.

“Saya dah kenal Jamal sejak lama dulu, saya tahu apa yang dia buat.

"Sebenarnya, hubungan Jamal dengan dengan Ng Suee Lim agak okay secara peribadi. Apabila isteri Ng meninggal dunia, Jamal hadir memberikan penghormatan,” kata pemimpin akar umbi itu.

Mohd Imran beramah mesra dengan penduduk setempat

Usaha parti kerajaan perpaduan mengolah semula imej Jamal dipercayai bakal membuahkan hasil apabila pengundi Cina di Sungai Besar mula bersikap lebih lunak kepada pemimpin kontroversi itu

Pada masa sama mereka kini lebih berhati-hati dengan penyebaran pengaruh PAS.

Ketika ditanya, Mohd Imran percaya 80 peratus pengundi PH "boleh dipindahkan" kepada Umno. Pun begitu dua tidak menjawab apabila diminta menjangkakan peratusan penyokong Umno yang boleh dikekalkan untuk menyokongnya.

PH dan BN bekerjasama buat pertama kalinya bagi menghadapi enam PRN yang berlangsung serentak pada 12 Ogos ini.

Walaupun pengundi Cina nampaknya lebih menerima kerajaan campuran, pemimpin BN dan PH percaya sesetengah pengundi Melayu masih ragu-ragu.

Jika penyokong Umno tidak berpuas hati dengan pakatan PH-BN, mereka mungkin memilih untuk mengundi PN atau setidak-tidaknya tidak keluar mengundi.

Ia sekali gus merisikokan BN untuk tewas di Sungai Panjang.

Ramai berminat pada Jamal

Mohd Imran sebelum ini mengakui dia ada mendengar beberapa ahli Umno yang tidak berpuas hati dan mungkin membantah secara senyap dengan tidak mengundi BN pada Sabtu ini.

Sementara itu di pihak PN gabungan berkenaan sudah memanfaatkan naratif “undi BN, dapat DAP”.

Calon PN Sungai Panjang Mohd Razali Saari memberitahu Malaysiakini, mereka menyasarkan pengundi yang tidak boleh menerima kerjasama PH-BN.

Naratif yang digunakan calon dari PAS itu ialah setiap undi yang diberikan kepada BN adalah sama dengan mengundi PH, manakala mengundi PH pula sama dengan mengundi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang masih berdepan dengan peruduhan rasuah di mahkamah.

Mohd Razali – yang bertanding untuk kali kedua di Sungai Panjang – memang mempunyai pengaruh tertentu dalam kalangan masyarakat setempat.

Dia merupakan pengetua sekolah agama swasta yang diasaskan oleh PAS selain menjadi perawat pusat rawatan alternatif Darussyifa’.

Mohd Razali berikteraksi dengan penduduk setempat melalui TikTok

Pengaruh Mohd Razali turut diakui ahli pasukan kempen Mohd Imran. Dia memberitahu Malaysiakini, Mohd Razali cukup berpengaruh dalam kalangan ibu bapa pelajar.

Selain hubungan akrab dengan penduduk tempatan, pasukan Mohd Razali mahir menggunakan TikTok dan menggunakan platform berkenaan untuk berinteraksi dengan pengundi pada setiap malam.

Sebagai perbandingan, Mohd Imran nampaknya tidak meninggalkan kesan yang kekal kepada pengundi.

Dalam salah satu siri kempen Mohd Imran di pasar hujung minggu, sambutan yang diberikan orang ramai kepadanya agak suram walaupun mereka tetap berjabat tangan dengannya secara sopan, selain menerima risalah yang diedarkan pasukannya.

Jamal - yang tiba kemudian - mendapat sambutan lebih memberangsangkan, mendorongnya memberi penjelasan bahawa bukan dia yang menjadi calon untuk DUN Sungai Panjang.

“Calon ada di sana,” jelas Jamal, dan pengundi menjawab, “Sama saja!”

Ada juga pengundi yang meminta bergambar dengan Jamal. Keadaan itu menyebabkan Jamal secara berseloroh bertanya bagaimana dia boleh kalah dalam PRU lalu ketika ramai orang mahu bergambar dengannya.

Pada PRU ke-15 tahun lalu Jamal menjadi calon BN bagi parlimen Sungai Besar namun dia gagal memenangi kerusi tersebut dan akur kepada penyandang, Muslimin Yahaya (Bersatu-PN).

Berdasarkan data pengundi semasa PRU ke-15, gabungan pengundi BN dan PH mampu mengalahkan PN.

Bagaimanapun, PRN bukanlah suatu rumusan daripada sifir mudah mtematik, kerana satu campur satu semestinya membawa jawaban dua.

Jika PN terus menghakis asas sokongan orang Melayu kepada Umno, bukan sahaja mereka berpeluang menang di Sungai Panjang, bahkan mungkin menempak lebih banyak kejayaan di kawasan Umno di tempat lain.