Skip to main
Logo Malaysiakini

Sanusi tidak minta maaf pada Vincent Tan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor enggan tunduk terhadap tuntutan permohonan maaf terbuka daripada pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad, Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad.

“Tak (minta maaf), kes itu sedang berkembang dan dokumen-dokumen sedang didedahkan.

"Kita tengok sehari dua lagi. Itu sahajalah,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Surat tuntutan Tan kepada Sanusi semalam meminta permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan RM200 juta.

Surat itu memberi Sanusi sehingga tamat waktu bekerja hari ini untuk bersetuju dengan tuntutan mereka.

Ini adalah berhubung dakwaan Sanusi mengenai projek pembersihan Sungai Klang.

Dalam surat yang dikeluarkan melalui firma undang-undang Pierre Chuah & Associates, peguam Tan menegaskan bahawa dakwaan Sanusi adalah "jelas palsu, tidak benar, tidak wajar, tidak berasas, dan berniat jahat terhadap anak guam kami".

Mereka juga menuntut Sanusi menarik balik tuntutannya dan membuat akujanji bertulis untuk berhenti mengulangi dakwaannya.

Sekiranya gagal, firma guaman itu berkata mereka menerima arahan Tan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Sanusi.

Syarikat guaman itu memberi amaran bahawa dakwaan Sanusi boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

“Oleh itu, anak guam kami berhak untuk membuat laporan polis terhadap anda,” kata mereka dalam surat bertarikh 4 Ogos.

Sanusi sebelum ini memberitahu Malaysiakini akan membuktikan tuduhannya itu di mahkamah.